PETALING JAYA: Sebanyak RM20,000 berjaya disumbangkan kepada Yayasan Institut Pengajian Al-Quran melalui Kejohanan Golf Amal Pro-Am Tun Ahmad Sarji 2026 yang berlangsung di Kelab Golf & Country Saujana, Subang, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Datin Suriani Ahmad Sarji mewakili keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kepada Pengarah yayasan, Kasmuri Sukardi.
Kejohanan yang bermula seawal jam 7.45 pagi dengan format “shotgun start” itu menyaksikan penyertaan 69 pemain amatur yang bergandingan bersama 23 pemain profesional.

PGM memaklumkan sebanyak 12 syarikat korporat terlibat sebagai penaja kejohanan berkenaan antaranya Affin Bank, Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd., MBSB Bank, MST, Northport (M) Berhad, Shapadu Capital Sdn. Bhd., Sime Darby Property Berhad, Saujana Resort (M) Bhd., Sime UMW, SIRIM, Tenaga Nasional Berhad dan Yaztech Sdn. Bhd..
MST Golf turut menaja hadiah bagi tiga pasukan terbaik serta hadiah-hadiah novelty, selain sumbangan baucar green fee untuk cabutan bertuah yang disumbangkan pelbagai kelab golf di seluruh negara.
Antara kelab yang terlibat ialah Bukit Jawi Golf Resort, Impian Golf & Country Club, Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Kelab Rahman Putra Malaysia, Kota Permai Golf & Country Club, Mines Resort & Golf Club, Palm Resort Golf & Country Club, Penang Golf Resort, Port Dickson Golf & Country Club, Royal Pahang Golf Club dan Saujana Golf & Country Club.
PGM turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, kelab golf, pemain, pegawai kejohanan dan Saujana Golf & Country Club atas kerjasama menjayakan penganjuran kejohanan itu.
PGM menyasarkan untuk meneruskan kejohanan amal ini sebagai acara tahunan dan mengalu-alukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bagi edisi 2027. – UTUSAN










