SHAH ALAM: Pemilik bertanggungjawab memastikan keselamatan tanah milik sendiri seperti pemasangan pagar bagi mengelak daripada sebarang aktiviti pencerobohan termasuklah pembinaan kuil haram.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjagaan keselamatan tersebut termasuklah di tanah-tanah milik kerajaan bagi menghindari sebarang aktiviti dan binaan yang dianggap tidak sah.
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri memandang serius berkenaan dengan kewujudan rumah-rumah ibadat atau tapak-tapak sembahan daripada bukan Islam yang didirikan di dalam kawasan-kawasan yang tidak sah.
“Namun begitu, situasi yang berlaku adalah apabila berlaku satu aktiviti yang sensitif untuk kita tangani secara langsung. Apabila ada aktiviti rumah ibadah yang sudah bertapak sudah bertahun dan ada tindakan yang cuba dibuat oleh pemilik tanah yang menimbulkan sedikit keadaan yang tidak selesa.
“Jadi, saya panggil jawatankuasa keselamatan negeri, kita dengar daripada pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.
“Justeru, perkara yang berlaku di Rawang, kita lihat fungsi polis menasihati kedua-dua pihak. Satu pihak yang dianggap menceroboh, tuan tanah dan akhirnya dapat diselesaikan apabila yang dianggap ceroboh mengeluarkan semua sembahan mereka dengan kaedah dengan ritual yang sepatutnya dilakukan.
“Esoknya, tuan tanah melaksanakan proses pembersihan,” katanya Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin (PN-Sungai Burong) berhubung isu kecurian tanah dan keberkesanan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD).
Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian merobohkan sebuah kuil di Rawang adalah berkaitan isu pencerobohan dan keengganan untuk berpindah keluar dari tanah berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tidak wajar kejadian dijadikan sebagai isu perkauman atau keagamaan cuma kebetulan kes itu melibatkan rumah ibadat.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, menjelaskan beliau turut merujuk kepada persatuan peguam Islam untuk mendapatkan pandangan bagi membolehkan penyelesaian melibatkan pemindahan peralatan sembahan dapat dilakukan.
“Kita sedang mereka atau membentuk satu bengkel baharu bagaimana kerajaan pula boleh membantu, tetapi akhirnya kos milik (kepada) siapa. Kos akan dikembalikan kepada tuan tanah, kerajaan boleh membantu.
“Setakat ini tugas kerajaan melalui jawatankuasa tanah daerah yang dipengerusikan oleh pejabat tanah serta dibantu oleh polis dan sebagainya memudah cara supaya proses ritual mengeluarkan sembahan itu dengan cara dihormati dan tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini ataupun kekacauan,” ujarnya. – UTUSAN










