DUN Selangor: Banjiri kawasan tanah gambut kekang kebakaran hutan berulang

DUN Selangor: Banjiri kawasan tanah gambut kekang kebakaran hutan berulang

Kebakaran hutan
PASUKAN bomba memadam kebakaran hutan tanah gambut yang berpunca daripada pembakaran terbuka dekat kawasan tapak pelupusan sampah haram di Sijangkang, Teluk Panglima Garang, di Kuala Langat, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor melaksanakan usaha pembanjiran kawasan tanah gambut serta hutan simpan kekal yang kerap terbakar melalui pembiayaan kos pengaktifan dan pengepaman telaga air bawah tanah.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, langkah tersebut dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Bencana Sealangor di bawah seliaan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan pemantauan dan penilaian risiko di kawasan tapak pelupusan sampah haram dan sekitar tanah gambut sebagai langkah pencegahan pembakaran terbuka.

“Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan memastikan bekalan air mentah mencukupi melalui Operasi Pengepaman Kolam Air Alternatif (OPAK) dan sekiranya perlu untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor juga melaksanakan projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM), bagi menguruskan tanah gambut secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelak degradasi dan kebakaran serta menjana faedah kepada generasi kini dan masa hadapan melalui pendekatan secara holistik dengan memperkasa tata kelola institusi, meningkatkan koordinasi antara agensi dan penglibatan masyarakat setempat.

“Operasi pencegahan kebakaran tanah gambut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam memastikan kebakaran tidak merebak dan kebakaran berskala besar tidak berlaku,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr. Ahmad Yunus (PN-Sijangkang) berhubung isu kebakaran hutan yang kerap berulang.

Dua minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 40,000 penduduk di negeri ini khusus­nya di Sijangkang dan Telok Pang­lima Garang terdedah ke­pada kesan pembakaran ter­buka yang berlaku seca­ra berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila asap tebal daripada kebakaran tersebut memberi kesan serius kepada kanak-kanak, termasuk batuk berpanjangan, sesak nafas, demam serta hidung berdarah.

JBPM Selangor mengesahkan kejadian kebakaran berpunca daripada pembakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram sebelum merebak ke kawasan hutan.

Malah, operasi pemadamannya mengambil masa berikutan kawasan kebakaran terjejas merupakan tanah gambut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN