PETALING JAYA: Sektor pelancongan domestik negara mula menunjukkan tanda penyusutan khususnya di Kedah dan Sarawak dengan penurunan kehadiran pelancong dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus.
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada keseluruhan rantaian industri pelancongan termasuk operator bas, van pelancong, bot dan feri.
Menurutnya, peningkatan kos bahan api menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung tekanan operasi yang tinggi, sekali gus mendorong sebahagian mereka mempertimbangkan pelarasan harga pakej atau mengenakan surcaj bahan api.
Beliau berkata, peningkatan kos perjalanan akan mula memberi kesan kepada permintaan, khususnya dalam segmen pelancongan kadar rendah (budget) termasuk berpotensi mengurangkan kekerapan perjalanan domestik.
“Dalam jangka sederhana, keadaan ini berpotensi menjejaskan permintaan, khususnya dalam kalangan pelancong domestik berpendapatan sederhana dan rendah.
“Setakat ini, kami belum ada data komprehensif menunjukkan sama ada terdapat peningkatan atau penurunan dalam jumlah pelancong domestik secara menyeluruh.
“Bagaimanapun, kesan ini berlaku kepada Kedah, Sarawak apabila pelancongan domestik menurun sehingga 30 hingga 40 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, di Kedah, tekanan kos bahan api amat dirasai pengusaha bot pelancongan di Pulau Langkawi terutama bagi aktiviti riadah laut yang menggunakan petrol tanpa subsidi.
Katanya, keadaan itu memaksa pengusaha menaikkan harga pakej manakala perkhidmatan feri pula terpaksa mengehadkan kekerapan perjalanan antara jeti utama termasuk Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
“Langkah mengenakan caj tambahan kepada pelancong asing juga dilihat tidak dapat mengimbangi sepenuhnya peningkatan kos malah sedikit sebanyak menjejaskan daya tarikan destinasi.
“Secara keseluruhan, pelancongan domestik di Kedah dianggarkan menurun antara 30 hingga 40 peratus,” katanya.
Di Sarawak pula, menurutnya, kekangan bekalan petrol turut memberi kesan kepada operasi pengusaha bot pelancongan.
Jelas beliau, ini kerana had pengisian petrol sebanyak 100 liter sehari bagi setiap pengusaha menyukarkan syarikat yang mengendalikan banyak bot untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Selain itu, sekatan terhadap pengisian menggunakan tong turut menimbulkan persepsi negatif terhadap pengusaha yang sah hingga menjejaskan kelancaran operasi.
“Situasi ini menyebabkan penurunan tempahan antara 30 hingga 40 peratus khususnya dalam kalangan pelancong antarabangsa di samping memberi kesan kepada pelancongan domestik,” katanya.
Tambahnya, sekiranya harga diesel terus meningkat dalam jangka panjang, ia bukan sahaja menjejaskan daya saing industri pelancongan domestik malah boleh memperlahankan pemulihan sektor itu dalam tempoh terdekat. – UTUSAN










