Cabang Temerloh lulus usul PKR terajui Parlimen Temerloh pada PRU16 - Utusan Malaysia

Cabang Temerloh lulus usul PKR terajui Parlimen Temerloh pada PRU16

ABDULLAH HAKIM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Temerloh PKR semalam sebulat suara meluluskan usul agar parti tersebut menerajui kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ketua Penerangan PKR Cabang Temerloh, Abdullah Hakim Ahmad berkata, usul itu manifestasi keyakinan penuh akar umbi terhadap kemampuan parti tersebut untuk memimpin dan membawa perubahan lebih progresif di situ.

“Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana penuh semangat muafakat dan disiplin organisasi memperlihatkan kesepaduan anggota dalam menyusun langkah strategik ke hadapan.

“Usul yang diluluskan menjadi isyarat jelas bahawa Cabang Temerloh bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar demi memastikan suara rakyat diangkat dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdullah Hakim berkata, PKR Cabang Temerloh komited untuk memperkukuh gerak kerja di semua peringkat, memperluaskan sokongan rakyat dan memastikan setiap agenda perjuangan parti itu benar-benar menyentuh keperluan masyarakat setempat.

“Dengan iltizam yang tinggi dan sokongan padu anggota, PKR yakin PRU16 bakal menjadi titik tolak kepada kebangkitan dan kejayaan besar di Parlimen Temerloh,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Temerloh PKR dirasmikan oleh Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPM) PKR, Profesor Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

“Dalam ucapannya, Prof. Dr. Hassan menegaskan kepentingan kesatuan dalaman, perancangan strategik yang tersusun serta kepimpinan yang berwibawa sebagai asas utama untuk mencapai kemenangan dalam PRU16,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN