KUANTAN: Seorang jurujual sanggup menghabiskan wang simpanan dan menjual tanah miliknya sebelum kerugian RM427,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp, Disember lalu.
Lelaki berusia 44 tahun itu dikatakan dihubungi individu tidak dikenali pada 17 Disember 2025 yang menawarkan pelaburan dikenali sebagai “Growth Investment” dengan janji pulangan 10 peratus dalam tempoh 30 minit.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan diberikan serta mendaftar sebagai ahli.
“Sepanjang tempoh 10 Februari hingga 3 April lalu, mangsa melakukan 11 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM427,000.
“Mangsa hanya menerima keuntungan sekali pada peringkat awal berjumlah RM23,000 sebelum tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa yang menggunakan wang simpanan dan hasil jualan tanah itu kemudian menyedari ditipu sebelum tampil membuat laporan polis. – UTUSAN










