ASC 2026 satukan sukan, digital dan pelancongan : Tawar hadiah RM200,000

ASC 2026 satukan sukan, digital dan pelancongan : Tawar hadiah RM200,000

Ketua Pegawai Eksekutif All Star Championship, Datuk Abd Rahman Soltan (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: All Star Championship (ASC) 2026 membawa konsep lebih besar apabila 34 pempengaruh dari sembilan negara bakal berentap di gelanggang, sekali gus menjadikan kejohanan itu sebagai platform menggabungkan sukan, kandungan digital, hiburan dan pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif All Star Championship, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, penganjuran edisi kali ini dirancang pada skala lebih besar bukan sekadar untuk menarik perhatian peminat sukan, malah memberi nilai tambah kepada usaha mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“ASC bukan hanya tentang siapa menang atau kalah di dalam gelanggang. Kita mahu bina satu platform yang menggabungkan sukan, digital, hiburan dan pelancongan dalam satu pengalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila kita bawa masuk influencer dari pelbagai negara, mereka bukan sahaja datang untuk bertanding, tetapi mereka juga membawa komuniti dan audiens masing-masing untuk mengenali Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, pengaruh digital yang dimiliki setiap peserta menjadi antara kekuatan utama ASC kerana mereka mampu menghasilkan kandungan dan berkongsi pengalaman secara terus kepada pengikut di negara masing-masing.

“Ini yang kita lihat sebagai satu peluang besar. Influencer mempunyai kemampuan untuk membawa cerita tentang Malaysia terus kepada audiens mereka, sama ada mengenai makanan, budaya, gaya hidup mahupun destinasi pelancongan.

“Jadi kita mahu ASC menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi acara antarabangsa, lebih-lebih lagi ketika kita sedang menggerakkan kempen Visit Malaysia 2026,” katanya.

ASC 2026 akan berlangsung di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur pada 17 Oktober depan dengan menghimpunkan 34 pempengaruh dari Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, Filipina, Vietnam, Jepun, Nigeria dan Morocco.

Abd Rahman berkata, perkembangan ASC daripada edisi Malaysia tahun lalu sebelum diteruskan di Dubai pada April lalu membuktikan format kejohanan itu mempunyai potensi untuk berkembang sebagai platform antarabangsa.

“Selepas Malaysia dan Dubai, kita mahu ASC terus berkembang. Tahun ini kita bukan sahaja menambah jumlah peserta, tetapi turut memperluaskan representasi negara dan komuniti yang terlibat.

“Bagi kami, ini adalah satu perjalanan untuk membina ASC sebagai platform antarabangsa yang mampu menghubungkan influencer, peminat sukan dan industri pelancongan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata aspek persediaan dan disiplin peserta turut diberi perhatian bagi memastikan mereka memahami tanggungjawab apabila memasuki gelanggang.

“Apabila mereka masuk ke gelanggang, mereka bukan lagi sekadar influencer. Mereka perlu bersedia seperti seorang atlet, mempunyai disiplin, komitmen dan keberanian untuk mencabar diri.

“Kita mahu tunjukkan kepada generasi muda bahawa pengaruh digital boleh digunakan untuk membawa mesej positif tentang sukan, kecergasan, disiplin dan gaya hidup aktif,” jelasnya.

Antara peserta Malaysia yang bakal berentap ialah Amir Harris, Jai JMT, Mikha, Fareez, Ikmal Dany, Ijat Separuh Rempit, Arai, Fariq Mcfly, Adan, Smokey MJ, Cemanzz, Dan, Raheem Hakim, Royspark dan Oyot.

Turut menyertai kejohanan ialah Chima, Kumala, Wawan, Cogan, Ayu Aulia, Elsa Nabila dan Abdi dari Indonesia; Gulfishan dari India; Abrar, Zainab dan Hira dari Pakistan; Altina dari Filipina; Filip dari Vietnam; Takaharu dari Jepun serta KRU dan Hicham dari Morocco.

ASC 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM200,000 dan menjadi kesinambungan kepada kejohanan edisi Malaysia tahun lalu serta Dubai Edition pada April lalu.

Bagi Abd Rahman, matlamat ASC bukan semata-mata melahirkan juara, sebaliknya membina platform yang mampu menghubungkan dunia sukan dan digital dengan peluang lebih besar untuk Malaysia.

“Kita mahu setiap peserta yang datang pulang dengan pengalaman tentang Malaysia, dan pada masa sama membawa cerita itu kepada jutaan pengikut mereka.

“Kalau kita boleh gabungkan pertandingan yang kompetitif dengan kandungan digital dan pengalaman pelancongan, saya percaya ASC boleh menjadi satu platform yang memberikan impak lebih jauh daripada sekadar sebuah kejohanan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×