KUALA TERENGGANU: Fokus utama PKR di Terengganu pada tahun ini adalah memperkukuh persiapan ke arah kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung PKR , Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, sepanjang tahun lalu, parti itu memberi tumpuan kepada pemantapan organisasi termasuk memperkasa sayap Wanita dan orang muda di peringkat cabang.
“Tahun 2026 kita memberi fokus kepada pembinaan budaya organisasi yang menekankan sistem nilai, kepercayaan serta disiplin dalam parti.
“Kita mahu bina anggota yang bukan sahaja pandai bercakap tetapi mampu bekerja dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen PKR Terengganu di sini, hari ini yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Fuziah, PKR berusaha membentuk jentera yang lebih berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan semata-mata.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap komitmen ahli parti di negeri ini yang terus menunjukkan sokongan walaupun berdepan kekangan.
“Tahniah kepada Terengganu, walaupun tiada wakil tetapi masih mampu menghimpunkan kehadiran yang memberangsangkan,” katanya.
Mengulas perkembangan organisasi, beliau berkata, beberapa cabang di negeri ini menunjukkan pertumbuhan positif dari segi jumlah ranting berdaftar dan keahlian baharu.
Antara cabang yang mencatatkan jumlah ranting berdaftar tertinggi ialah Besut dengan 108 ranting, diikuti Hulu Terengganu (37 ranting), Kuala Terengganu (33 ranting) termasuk pertambahan 100 anggota baharu, Setiu (18 ranting), Kemaman (14 ranting), Marang (dua ranting) dan Kuala Nerus satu ranting.
Secara keseluruhan, sebanyak 213 ranting berdaftar direkodkan di Terengganu setakat ini. – UTUSAN










