SETIU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu merekodkan pengeluaran sebanyak 362 tan metrik tembikai bagi suku pertama tahun ini.
Pengarahnya, Muhammad Fadlee Hassan berkata, kutipan hasil itu dilakukan di dua Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating dan TKPM Alor Ketir di Marang bagi fasa pertama di negeri ini.
“Di Marang, penglibatan 22 peserta menuai hasil sebanyak 1,028 tan metrik tembikai yang mana daripada jumlah itu, 362 tan metrik dibeli oleh FAMA dengan kos sebanyak RM450,000.
“Buah dibeli ini adalah gred premium yang diukur daripada segi beratnya tidak kurang daripada 4.5 kilogram, kematangan buah dan kadar ‘kecacatan’ di bawah lima peratus,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian jual beli dan sesi dialog dengan pekebun di Kampung Nyatoh di sini, semalam.
Menurut Muhammad Fadlee, lebihan buah tersebut dijual sendiri pekebun dengan bantuan peralatan mahupun pemasaran oleh FAMA.
Katanya, tuaian fasa kedua tembikai dijangka dilaksanakan dalam tempoh 10 hari lagi dan dilakukan oleh 11 peserta dari TKPM di Kampung Nyatoh, Setiu.
“Hasil tuaian serta beliannya dijangka mencecah 200 hingga 250 tan metrik buah.
“Harga yang dipersetujui kini adalah bernilai RM1.10 sehingga RM1.20 bagi satu kilogram tembikai.
“Sekiranya berlaku penurunan harga, FAMA tetap membayar pekebun dengan harga lantai iaitu RM0.85 perkilogram,” katanya.-UTUSAN.










