PETALING JAYA: Minggu pertama Syawal menyaksikan lokasi tumpuan di ibu kota dibanjiri ribuan warga asing ketika sebahagian besar anak perantau masih seronok beraya di kampung.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa kawasan strategik di bandar raya Kuala Lumpur dipenuhi warga asing sejak awal pagi hingga lewat petang bagi memanfaatkan cuti umum perayaan.
Di kawasan Jalan Silang dan sekitar Petaling Street, keadaannya seolah-olah berada di luar negara apabila ia dipenuhi oleh warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar.
Senario yang sama turut dirasai di pekarangan Suria KLCC dan sekitar pusat beli-belah Sogo.
Pintu masuk utama dan kawasan rekreasi di situ dibanjiri lautan pekerja asing pelbagai warganegara yang mengambil peluang untuk bersiar-siar dan bergambar.
Seorang pelajar antarabangsa dari Arab Saudi, Jumana, 24, menyifatkan kemeriahan Syawal di ibu kota memberikan pengalaman yang cukup unik dan berbeza buat dirinya.
“Saya suka melihat kepelbagaian budaya bersatu di sini, ia sekurang-kurangnya mengubat rindu saya pada keluarga di Jeddah,” katanya.
Seorang pembuat kopi dari Vietnam, Fyn, 22, berkata, cuti umum perayaan adalah peluang keemasan untuk dia dan rakan-rakan berehat di pusat bandar selepas berbulan-bulan memerah keringat.
“Cuti umum yang panjang ini memberi ruang untuk kami berjumpa dan meluangkan masa bersama sambil menikmati keindahan panorama Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga minuman, Ismail, 35, berkata, hasil jualannya sepanjang minggu pertama Syawal bergantung hampir sepenuhnya kepada kehadiran pelanggan warga asing.
Katanya, kebanyakan air minuman yang dijualnya hampir kehabisan selepas dibeli kebanyakan warga asing.
“Kebetulan sekarang cuaca agak panas dan kebanyakan warga asing ini pula suka berjalan kaki ke sana ke mari, mereka pasti dahaga. Nasib baik mereka ramai dan datang beli air minuman di kedai saya.
“Selalunya ramai juga orang tempatan datang beli air dengan saya, tetapi sekarang ini ramai yang pulang ke kampung menyambut hari raya bersama keluarga. Jadi, saya bernasib baik sebab ramai warga asing beraya di bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia juga turut meninjau di lorong-lorong belakang dan kaki lima ibu kota yang turut menyingkap realiti pilu golongan gelandangan yang menyambut Aidilfitri serba kekurangan.
Gelandangan muslim, Puteri Solo, 52, berkata, kehadiran 1 Syawal seakan-akan hilang erti kemeriahannya tatkala terpaksa menjadikan kawasan kaki lima berhampiran Pasar Seni sebagai tempat berteduh sejak 10 tahun yang lalu.
“Setiap kali bergema laungan takbir raya dari masjid berhampiran pada malam perayaan, air mata saya pasti mengalir,” katanya. – UTUSAN










