Thailand akan penjarakan pemandu Malaysia lakukan kesalahan trafik

Thailand akan penjarakan pemandu Malaysia lakukan kesalahan trafik

POLIS Thailand memperketat pelaksanaan undang-undang kepada kenderaan asing yang masuk ke negara berkenaan berkuatkuasa 1 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Pemandu Malaysia yang melanggar peraturan jalan raya di Thailand bakal berdepan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM2,385.41 atau 20,000 baht dan hukuman penjara maksimum setahun, berkuat kuasa 1 April ini.

Jurucakap Polis Trafik Wi­layah Narathiwat berkata, pe­nguatkuasaan undang-undang yang ketat itu bagi meningkatkan disiplin pemandu dan penunggang motosikal serta me­ngurangkan kemalangan jalan raya.

Katanya, ia melibatkan kesalahan memandu laju, me­langgar lampu isyarat, tidak berhenti untuk pejalan kaki di lintasan pejalan kaki, menggunakan telefon bimbit tanpa aksesori, memandu melawan arus lalu lintas dan tidak memakai topi keledar (pemandu dan penumpang).

Selain itu, ia juga melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar (pemandu dan penumpang), tidak membawa lesen memandu, memandu di bawah pengaruh alkohol dan memandu tanpa menghiraukan keselamatan.

“Kenderaan asing yang melakukan 10 kesalahan utama ini bakal dikenakan denda serta-merta. Namun mereka boleh membayar saman di mana-mana pejabat polis trafik sebelum pulang ke negara masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jurucakap itu berkata, kegagalan membayar saman lalu lintas dalam tempoh tertentu boleh menyebabkan kenderaan dan pemandu disenarai hitam daripada memasuki Thailand pada masa depan.

Katanya, pada masa sama pesalah trafik boleh dihalang keluar daripada negara ini selagi tidak membayar saman berke­naan.

“Saya menasihatkan pelancong Malaysia yang memasuki Selatan Thailand mulai 1 April ini supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kami kerap menerima adu­an yang mendakwa pemandu Malaysia memandu laju. Ada juga yang meletak kenderaan tanpa menghiraukan peraturan lalu lintas,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN