Pelajar IPTA mengaku tidak bersalah kes pijak al-Quran - Utusan Malaysia

Pelajar IPTA mengaku tidak bersalah kes pijak al-Quran

S. Vikneswaran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat di Mahkamah Sesyen, Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk memijak naskhah al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Tertuduh, S. Vikneswaran, 21, juga tidak mengaku bersalah atas tuduhan kedua iaitu membuat hantaran jelik di media sosial selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohammad.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Februari 2026 di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota kira-kira pukul 1.30 petang.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik hantaran jelik melampau di media sosial dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pengarah Pendakwaan negeri,  Shahrizat Ismail mencadangkan ikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi serta menimbulkan kegusaran masyarakat.

Peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman merayu jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan tertuduh masih pelajar manakala bapanya yang berusia 59 tahun hanya bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan RM5,000 sebulan dan perlu menyara isteri serta dua anak termasuk tertuduh.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain diarahkan melaporkan diri di Balai Polis Jaya Gading setiap awal bulan.

Tertuduh dan keluarga perlu memaklumkan kepada mahkamah jika berpindah dari kediaman mereka sekarang manakala kes akan disebut semula pada 8 April ini.

Sementara itu, di luar mahkamah, ketika diajukan soalan kepada peguam berkenaan status agama tertuduh yang dikatakan sudah memeluk Islam, Muhammad Amirull Afiqq menjelaskan keluarga tertuduh tidak mengetahui perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN