BAGAN SERAI: Pas mahu memastikan Perikatan Nasional (PN) menawan Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka pada tahun ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU16 termasuk daripada strategi calon dan jentera.
“Strategi utama yang sedang dirangka termasuk pemilihan calon boleh menang selain memastikan calon yang diketengahkan memiliki keupayaan kepimpinan dan kredibiliti untuk mentadbir negeri.
“Sasaran kita jelas, PN menang di Perak. Calon yang diletakkan mestilah calon boleh menang dan mempunyai kualiti untuk memimpin,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program moreh makan kerang bersama Yang Berhormat Pak Teh sempena Ramadan di Dataran Sriti Bagan Serai di sini, semalam.
Idris yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, dalam konteks negeri Perak, sasaran utama adalah memastikan kemenangan PN di negeri ini.
Menurutnya, selepas berakhirnya sesuatu pilihan raya, Pas terus bergerak memperkukuh organisasi di semua peringkat.
“Pas sentiasa bersedia. Menang atau kalah itu perkara biasa dalam politik, tetapi gerak kerja parti tidak pernah berhenti. Kita tidak ada istilah pencen dalam perjuangan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-16, Idris menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan parti.
“Soal bertanding atau tidak, di Parlimen atau DUN, itu keputusan parti. Saya bersedia sekiranya diberi amanah,” katanya.
Mengulas kemungkinan penyertaan parti baharu dalam PN, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, perkara itu melibatkan strategi dan dasar yang perlu diputuskan secara kolektif oleh kepemimpinan gabungan.
“Itu soal strategi dan dasar parti. Perkara seperti itu tidak boleh diputuskan secara individu, ia mesti melalui perbincangan dan keputusan rasmi parti,” katanya. – UTUSAN










