JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) sedang kembali kepada arah penyatuan susulan keterbukaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuka pintu kembali tanpa syarat kepada mana-mana individu termasuk yang dikenakan tindakan sebelum ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kesediaan individu seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Khairy Jamaluddin untuk kembali merupakan isyarat jelas terhadap perkara tersebut.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan merupakan tokoh politik berpengalaman yang diterima masyarakat pelbagai lapisan selain telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
“Dengan adanya pemimpin yang bersikap sederhana dan diterima masyarakat, ia memberi harapan bahawa BN sedang ke arah penyatuan. Ini jelas bahawa kita perlu bersolidariti, kerana jika kita bercerai kita akan roboh.
“Jadi selagi kita rapatkan saf di dalam parti masing-masing serta gabungan BN, ia akan menjadi kekuatan tambahan kepada BN yang dahulunya mentadbir negara dengan sangat baik.
“Perkembangan ini adalah tenaga positif yang kita perlukan untuk terus mengukuhkan kesatuan dan kedudukan BN pada masa depan,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA Johor Selatan di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di sini kelmarin.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, pihaknya yakin perkembangan tersebut akan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat pelbagai kaum untuk mengundi BN pada pilihan raya akan datang.-UTUSAN.










