Kerajaan berjaya ketepi perintah bayaran pencen pesara RM1.7b

Kerajaan berjaya ketepi perintah bayaran pencen pesara RM1.7b

BALJIT Singh Sindhu (tengah) bersama sebahagian pesara kerajaan yang memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung isu pelarasan bayaran pencen di Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam membenarkan rayuan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengetepikan pembayaran pencen melebihi RM1.7 bilion selepas pelarasan melibatkan 531,976 penjawat awam.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Chong Fong yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Keputusan itu berkait semakan kehakiman pesara kerajaan, Aminah Ahmad yang pernah berkhidmat di Kementerian Luar yang mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa 1 Januari 2013 menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada responden berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini mengikut Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Hakim Azhahari Kamal ketika membacakan alasan penghakiman ringkas berkata, responden (Aminah) sebelum ini tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2017 yang memutuskan beliau gagal membuktikan elemen ‘kerugian’ akibat pelaksanaan Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Jelasnya, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu mendapati dakwaan responden bahawa pelaksanaan kadar pencen tahunan dua peratus adalah kurang menguntungkan berbanding pelarasan pencen berdasarkan gaji akhir pesara sebelum pindaan di bawah akta 2013 adalah tidak tepat.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan isu kerugian tidak berjaya dibuktikan. Panel hakim turut berpandangan isu kerugian yang dibangkitkan dalam saman pemula oleh responden adalah bagi menyokong tuntutan pembayaran tunggakan pelarasan pencen.

“Bagaimanapun, selepas gagal meyakinkan mahkamah dalam saman pemula yang difailkan pada 2017 berhubung isu tersebut, responden kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan cuba bergantung kepada pengisytiharan awal yang dirujuk dalam draf pernyataan tuntutan,” kata hakim itu.

Panel memutuskan pemfailan permohonan semakan kehakiman berhubung tuntutan tunggakan pelarasan pencen merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia bertujuan untuk ‘menghidupkan’ semula isu yang telah diputuskan sebelum ini.

Selepas prosiding, peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili Aminah berkata, beliau telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 September 2025, panel berkenaan selesai mendengar hujah pihak-pihak terlibat dengan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) selaku perayu.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 yang diperkenalkan adalah berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Aminah dan memutuskan bahawa pelarasan pencen tahunan sebanyak dua peratus secara `flat rate’ sejak Januari 2013 telah memberikan manfaat yang kurang kepada pesara kakitangan awam.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian atas alasan pindaan tersebut telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.

Pada 27 Jun 2023, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 12 Januari 2024, Aminah memfailkan permohonan semakan kehakiman enam bulan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurut permohonan semakan kehakiman tersebut, Aminah memohon perintah mandamus (memaksa) terhadap kedua-dua responden untuk menyegerakan penyelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Pada 16 Januari 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.

Bagaimanapun, pada 4 Mac 2025, Amarjeet membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran tunggakan pencen kepada lebih 500,000 pesara berjumlah RM1.7 bilion, sementara menunggu pelupusan rayuannya di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN