Kenaikan harga minyak tekan kos operasi p-hailing, pengusaha bas

Kenaikan harga minyak tekan kos operasi p-hailing, pengusaha bas

PEPERANGAN AS-Israel dan Iran yang terus berlarutan sehingga hari ini bakal mencetuskan lonjakan harga minyak mentah dunia dan memberi kesan kepada seluruh negara termasuk Malaysia. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan harga minyak mentah dunia susulan ketegangan di Asia Barat dijangka meningkatkan kos operasi sektor pengangkutan, termasuk perkhidmatan penghantaran p-hailing dan bas sekolah, sekali gus menambah beban kepada pengguna.

Presiden Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, peningkatan harga bahan api akan menaikkan kos operasi penghantar p-hailing dan seterusnya menjejaskan pendapatan harian mereka.

Menurutnya, keadaan itu lebih mencabar kerana penghantar p-hailing sehingga kini masih belum menerima subsidi BUDI 95 seperti kumpulan sasaran lain.

“Setiap kali harga minyak meningkat, kos operasi penghantar p-hailing turut meningkat dan ini akan menjejaskan pendapatan mereka.

“Kita juga perlu faham bahawa kenaikan harga minyak bukan hanya memberi kesan kepada bahan api semata-mata, tetapi turut memberi impak kepada harga barangan lain seperti komponen kenderaan dan alat ganti kerana melibatkan kos pengangkutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, bagi penghantar sepenuh masa, kebanyakan mereka tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja walaupun kos operasi meningkat.

“Mereka mungkin terpaksa menambah jam bekerja bagi menampung pendapatan yang berkurangan akibat kenaikan harga minyak,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bahan api khusus kepada penghantar p-hailing bagi membantu mengurangkan beban kos operasi.

Katanya, antara cadangan yang akan dikemukakan termasuk pemberian insentif kepada penghantar p-hailing serta penilaian semula mekanisme kadar caj penghantaran supaya selari dengan peningkatan kos operasi.

“Bagaimanapun, sebarang pelarasan kadar caj penghantaran perlu diteliti dengan berhati-hati kerana ia juga boleh meningkatkan kos kepada pengguna serta berpotensi mencetuskan inflasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, antara kebimbangan pihaknya susulan ketidaktentuan bekalan minyak global ketika ini adalah kemungkinan gangguan bekalan diesel bersubsidi yang boleh menjejaskan operasi perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mengeksport hampir keseluruhan minyak mentah negara, pada masa sama negara masih bergantung kepada import petrol dan diesel dari luar negara, khususnya dari negara Arab.

“Situasi tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan bahan api tempatan sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan global.

“Malah, sekiranya diesel bersubsidi tidak tersedia di pasaran, perkhidmatan bas sekolah terpaksa dihentikan sementara sehingga bekalan kembali pulih.

“Apa yang kita bimbang juga adalah kemungkinan gangguan bekalan alat ganti kenderaan memandangkan kira-kira 90 peratus komponen bas diimport dari luar negara, yang boleh memberi kesan kepada penyelenggaraan kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, harga diesel bagi pengusaha bas sekolah ketika ini masih terkawal di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 1.0) melalui penggunaan kad armada (Fleet Card), dengan harga kawalan sekitar RM1.881 seliter.

Namun, katanya, sebarang perubahan terhadap harga kawalan di bawah skim itu berpotensi meningkatkan kos operasi, sekali gus memaksa pengusaha menyalurkan kenaikan tersebut kepada pengguna melalui kenaikan tambang bas sekolah.

“Setakat ini, kuota diesel bersubsidi yang diperuntukkan kepada pengusaha bas sekolah dilaporkan masih mencukupi untuk menampung operasi harian mereka.

“Kita berharap kerajaan dapat memastikan bekalan diesel bersubsidi terus dikekalkan bagi keperluan domestik, khususnya sektor pengangkutan awam, walaupun harga minyak mentah dunia meningkat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×