‘Kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima’

‘Kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima’

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak akan ada tolak ansur terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah kerana ia membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor kelmarin merupakan kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan akan memastikan tindakan undang-undang diambil secara tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Kehilangan ini amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa yang tidak berdosa malah me­rupakan satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh di­terima sama sekali.

“Kementerian Pengangkutan memandang serius kejadian ini dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pe­ngaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Kelmarin media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.

Akibat pelanggaran itu, mang­sa yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Pe­rodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anthony Loke dalam pada itu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan supaya dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tujuan pendakwaan.

Katanya, kementerian juga sedang meneliti cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

“Kementerian menggesa pihak PDRM untuk menyegerakan siasatan secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada AGC untuk menjalankan pendakwaan dan seterusnya berharap agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah.

“Kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN