KUALA KRAI: Jambatan gantung di Kampung Chatel Damai di sini yang runtuh semasa majlis kenduri awal Januari lalu kini digantikan dengan sebuah jambatan baharu yang dinamakan Jambatan Wan Jamilah.
Nama tersebut diambil sempena pengantin perempuan, Wan Jamilah Wan Syukri selepas majlis perkahwinannya bertukar detik mencemaskan apabila titi gantung berusia 24 tahun yang merentangi Sungai Chatel Damai runtuh.
Bapa kepada pengantin berkenaan, Wan Syukri Wan Isa, 54, meluahkan rasa gembira dan terharu apabila nama anak perempuannya itu diabadikan pada jambatan tersebut.
Katanya, nama itu sangat bermakna kerana ia menjadi sebahagian daripada sejarah kampung berkenaan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Wan Jamilah dan dia gembira dengan perkhabaran tersebut.
“Wan Jamilah ialah anak kedua daripada enam beradik dan bekerja di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Wan Syukri berkata, jambatan baharu itu disifatkan sebagai hadiah Aidilfitri buat dirinya dan penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, ia sekali gus menamatkan penantian lebih 20 tahun penduduk untuk menikmati kemudahan lebih selamat bagi merentasi Sungai Chatel Damai.
“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menyelesaikan masalah ini dengan begitu cepat,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan mendapati kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut sudah melebihi 90 peratus dan dijangka dapat digunakan seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.
Utusan Malaysia 19 Januari lalu melaporkan, jambatan besi bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, di sini pada 1 Januari lalu boleh digunakan semua kenderaan mempunyai berat bawah 5 tan metrik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lata Rek, Mohamad Zamri Mohd. Noor berkata, kontraktor yang dilantik sudah memasuki tapak pada Sabtu lalu dan kerja-kerja pembersihan kawasan giat dilakukan sebelum pembinaan bermula.
Pada 1 Januari lalu, tular dalam media sosial apabila suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas sebaik sahaja jambatan dilalui tetamu runtuh hingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
Susulan kejadian itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Perdana Menteri mengarahkan peruntukan segera bagi tujuan berkenaan. – UTUSAN










