KUANTAN: Tindakan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina Islam perlu dijadikan pengajaran besar buat rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, insiden itu membuktikan betapa pentingnya masyarakat Malaysia menjaga sensitiviti agama dan kaum tanpa mengira latar belakang masing-masing.
“Tidak kira apa jua kaum sekalipun, jangan sesekali kita menyentuh sensitiviti kaum lain di negara ini. Perbuatan sebegini boleh mencetuskan ketegangan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sharkar, rakyat harus bersyukur kerana kes tersebut tidak melibatkan sebarang tunjuk perasaan atau tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Katanya, keadaan terkawal itu terutama dalam bulan Ramadan ini menunjukkan masyarakat masih matang dalam menangani isu-isu sensitif yang berpotensi menimbulkan perpecahan.
Beliau menambah, sekiranya perbuatan menghina agama dilakukan oleh individu yang berfikiran waras, perkara itu tidak mungkin berlaku.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat faktor lain di luar jangkaan yang mendorong tindakan tersebut,” jelasnya.
Mohd. Sharkar turut mengingatkan bahawa setiap rakyat Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dalam menzahirkan pandangan, sama ada di media sosial mahupun dalam kehidupan seharian.
“Kes ini harus dijadikan iktibar agar kita lebih menghargai keharmonian dan perpaduan yang telah lama terbina di negara ini,” katanya. – UTUSAN










