AS lucut hak pangsapuri mewah dibeli guna dana 1MDB

AS lucut hak pangsapuri mewah dibeli guna dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memperoleh perintah pelucuthakan pangsapuri mewah di New York yang dibeli hasil dana diseleweng daripada 1Malaysia De­ve­lopment Berhad (1MDB).

Menurut DOJ, perintah itu turut melibatkan hasil sewaan tertentu daripada aset berkenaan.

DOJ berkata, tindakan itu menyelesaikan kes pelucuthakan sivil yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Tengah California bagi mendapatkan semula aset lebih AS$6 juta babitkan dana 1MDB.

“Berdasarkan aduan kes, berbilion dolar dana milik 1MDB didakwa diseleweng antara 2009 hingga 2015 oleh pegawai kanan 1MDB dan sekutu mereka, termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Jutaan dolar daripada dana yang diseleweng itu kemudian diguna untuk beli kondominium mewah di New York City bagi manfaat Catherine Tan May Ling, pembantu peribadi kepada Jho Low.

“Catherine turut didakwa memperoleh keuntungan daripada aset berkenaan dengan menyimpan hasil sewaan kondominium tersebut.

“Di bawah perintah pelucuthakan yang dikeluarkan dalam kes ini, kondominium dan hasil sewaan yang dipegang Tan akan dilucut hak kepada kerajaan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut DOJ, 1MDB diwujudkan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negara menerusi kerjasama global dan pelaburan asing.

Namun, dana milik 1MDB serta hasil bon didakwa diseleweng dan dibelanjakan oleh Jho Low serta rakan konspiratornya bagi membeli pelbagai aset mewah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN