Tentera Darat korban 18 ekor lembu sempena Aidiladha

Tentera Darat korban 18 ekor lembu sempena Aidiladha

Anggota tentera melapah lembu pada Majlis Ibadah Korban Perdana Tentera Darat 2026M/1447H di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAk
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban Perdana Tentera Darat Malaysia (TDM) 2026 yang berlangsung di Kem Perdana Sungai Besi, di sini semalam.

Timbalan Panglima Tentera Da­rat, Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, daripada jumlah itu, tujuh ekor lembu adalah sumbangan pelbagai pihak dan individu bagi menjaya­kan ibadah korban berkenaan.

Katanya, program tahunan itu bukan sahaja menzahirkan penghayatan terhadap tuntutan ibadah korban sempena Aidil­adha, malah menjadi medium memperkukuh hubungan sila­turahim serta semangat gotong-royong dalam warga tentera.

“Semalam, kita ada sebanyak 11 ekor lembu yang terlibat langsung untuk dikorbankan dan tujuh ekor telah disumbangkan.

“Program ini juga dapat me­ngeratkan hubungan sesama anggota tanpa mengira lapisan pegawai atau anggota bawahan,” katanya selepas mengha­diri majlis itu di Padang Kawad Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Kem Perdana Sungai Besi.

Mohamad Suria berkata, kira-kira 500 pegawai dan anggota menghadiri majlis itu, manakala program sama turut dilaksanakan di kem tentera darat di seluruh negara bermula semalam hingga hari ini sempena sambutan Aidiladha.

Katanya, daging korban yang siap dilapah dan dibungkus akan diagih kepada anggota terlibat selain golongan memerlukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota tentera bertugas di sempadan negara dan pulau-pulau sehingga tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada anggota yang berada di lapa­ngan dan teruskan melaksanakan tugas dengan jujur dan ikh­las demi memastikan negara terus aman dan segala ancaman dapat dibendung seawal mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN