PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dilaporkan telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali menyertai parti tersebut.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.
Asyraf berkata, penyertaan semula Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO dilihat mampu memperkukuh wadah perjuangan Rumah Bangsa.
Selain Hishammuddin, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO, Ahad lalu.
“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan pada malam-malam terakhir Ramadan.
“Selain Khairy, ramai lagi pemimpin yang pernah menabur jasa telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkukuh wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Hishammuddin.
“Moga-moga Allah memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan negara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas permohonannya untuk kembali menyertai UMNO, Khairy berkata, hasratnya hanyalah untuk kembali sebagai seorang ahli biasa.
Khairy berkata, beliau tidak meletakkan sebarang syarat, hajat peribadi atau permintaan kepada parti tersebut.
Katanya, ketika politik tanah air berhadapan dengan ketidaktentuan, bahtera perjuangan UMNO yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara perlu terus diperkukuh.
“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan membantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.
“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar, penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Dalam pada itu, Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima kunjungannya atas semangat Rumah Bangsa.
Khairy berkata, beliau telah secara rasmi memohon agar pemecatan keahliannya daripada UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.
“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya. – UTUSAN










