ARAU: Tanggal 1 Mac setiap tahun dipilih sebagai Hari Pengasasan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena dengan tertubuhnya Dewan Diraja yang berperanan membantu Raja Perlis melaksanakan tugas-tugas baginda sebagai Ketua Agama Islam serta Ketua Adat Istiadat Melayu bagi negeri ini.
Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan berkata, di bawah pemerintahan Raja-Raja Wangsa Jamalullail Perlis sejak 1 Mac 1920, MAIPs yang bermula sebagai urus setia kini menjadi sebuah institusi bermaruah bagi mencorak dasar kemajuan negeri dengan berpaksikan al-Quran serta as-Sunnah.
“Menelusuri angka 106 tahun bukanlah suatu perbuatan yang mudah dalam perjalanan sesebuah organisasi.
“Berpandukan minit-minit mesyuarat Perlis State Council sekitar tahun 1919 hingga 1922, maka berkemungkinan besar cadangan awal ke arah penubuhan MAIPs telah diangkat pada sekitar tahun 1920,” katanya ketika menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena Simbolik Peringatan Hari Pengasasan MAIPs Ke-106 di Galeri Diraja Arau.
Hazman berkata, MAIPs yang belum dinamakan pada ketika itu telah berperanan sebagai Dewan Penasihat Raja yang dipengerusikan oleh Almarhum Raja Syed Alwi Ibni Syed Safi Jamalullail dan dianggotai semua ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perlis seperti Kadhi Besar Haji Mohd Noor Haji Muhammad dan Datuk Wan Teh Datuk Arau, kecuali Penasihat British yang tidak beragama Islam.
“Merujuk minit mesyuarat Perlis State Council sepanjang tahun 1909 hingga 1920, didapati perkara berkaitan dengan pengurusan zakat juga hanya mula dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat bertarikh 1 Mac 1920 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1338H,” katanya.
Hazman berkata, dalam persidangan pada 1 Mac 1920 itu, mesyuarat dipengerusikan sendiri oleh Almarhum Raja Syed Alwi Jamalullail telah membuat keputusan bahawa ‘Kathi’ adalah bertanggungjawab menyediakan dan mengedarkan maklumat (notis) mengenai kewajipan membayar zakat kepada seluruh rakyat Perlis.
Katanya, berdasarkan maklumat ini, peranan MAIPs sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan zakat juga telah bermula secara formal semenjak tahun 1920 lagi.
“Asas pengambilan 1920 sebagai tahun permulaan MAIPs juga disandarkan kepada perbandingan dengan beberapa buah negeri Melayu menubuhkan Majlis Agama Islam masing-masing pada sekitar tahun 1900.
“Kelantan menubuhkan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada 1915, di Johor wujudnya Majlis Agama Islam Johor (1952) dan di Pahang didirikan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP (1926). Secara tidak langsung, hipotesis penubuhan MAIPs pada tahun 1920 adalah bersesuaian,” katanya. -UTUSAN










