MMA cadang elaun pos basik jururawat RM500

MMA cadang elaun pos basik jururawat RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan agar kadar elaun latihan lanjutan (pos basik) jururawat dinaikkan sekurang-kurangnya RM500 sebulan, selain mekanisme semakan berkala dilaksanakan secara tersusun.

Presiden MMA, Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, ia keperluan segera untuk memperkukuh pengiktirafan terhadap peranan jururawat berkemahiran tinggi dalam sistem kesihatan negara.

Katanya, perkara itu tidak memerlukan kajian baharu, sebaliknya hanya keazaman untuk dilaksanakan segera.

“Jururawat memainkan peranan kritikal dalam pelbagai situasi penjagaan kesihatan, termasuk menguruskan pesakit di saat akhir kehidupan, pesakit mengalami kesukaran bernafas pada waktu kecemasan serta menjaga bayi pramatang di unit rawatan rapi neonatal (NICU) sepanjang syif malam.

“Elaun pos basik yang diterima ketika ini tidak berubah selama 17 tahun, sekali gus menunjukkan tanggungjawab dan beban kerja semakin meningkat serta tidak lagi relevan dengan bayaran diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Kesatuan Jururawat Malaya menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula kadar elaun pos basik jururawat yang masih kekal RM100 sejak 17 tahun lalu.

Dr. Thirunavukarasu berkata, jururawat pos basik dilatih dalam bidang rawatan rapi, kecemasan dan trauma, dialisis, onkologi serta penjagaan neonatal yang merupakan komponen penting dalam memastikan kelancaran operasi hospital.

“Tanpa mereka, hospital tidak dapat berfungsi dengan baik termasuk unit rawatan rapi (ICU), pembedahan dan perkhidmatan dialisis.

“Isu berkenaan bukan sekadar melibatkan elaun kecil, sebaliknya menyentuh soal keutamaan negara terhadap sistem kesihatan dan pengiktirafan terhadap kepakaran jururawat,” katanya.

Menurutnya, Malaysia berdepan kadar kekosongan jururawat hampir 18 peratus dalam sektor kesihatan awam melibatkan lebih 14,700 kekosongan daripada 84,000 jawatan diluluskan setakat September 2025.

“Jururawat berpengalaman semakin meninggalkan perkhidmatan dan apabila mereka berbuat demikian, kepakaran turut hilang sedangkan ia mengambil masa bertahun untuk dibina semula,” katanya.

Dr. Thirunavukarasu berkata, majoriti jururawat di negara ini ialah wanita yang berdepan cabaran mengimbangi kerja syif mencabar dengan tanggungjawab keluarga.

“MMA mengambil maklum struktur imbuhan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, namun keputusan akhirnya memerlukan pertimbangan di peringkat kepimpinan tertinggi negara.

“MMA menegaskan pada ketika ini isu tersebut bukan lagi soal proses atau kajian, sebaliknya memerlukan keputusan segera. Sebarang penangguhan hanya memberi isyarat jelas terhadap keutamaan sistem kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN