Teater hancur kerana hilang rasa hormat - Ijam Petra - Utusan Malaysia

Teater hancur kerana hilang rasa hormat – Ijam Petra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggiat seni teater diingatkan agar tidak mengetepikan tanggungjawab moral dan sensitiviti budaya tempatan demi mengejar kebebasan ekspresi dalam sesebuah pementasan.

Pempengaruh dan penggiat seni teater, Ijam Petra berkata, polemik membabitkan pementasan teater di Universiti Malaya yang mempamerkan adegan kurang sopan yang tular seharusnya menjadi pengajaran buat semua pihak.

Menurutnya, walaupun teater merupakan sebuah naskhah ‘hidup’ yang boleh diterjemahkan mengikut visi sutradara, namun tidak seharusnya melanggar batasan sehingga merosakkan imej seni pementasan.

“Teater tidak rosak kerana ramainya penggiat, tetapi ia hancur kerana ketiadaan disiplin, hilangnya rasa hormat, dan kemiskinan kesedaran terhadap estetika seni itu sendiri.

“Jika disekat, kita dituduh antidemokrasi, namun jika dibiarkan tanpa bimbingan, ia akan merobek imej seni pementasan yang sememangnya sudah rapuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Instagram.

Mengulas lanjut, Ijam yang juga Alumni Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama) universiti tersebut menegaskan bahawa setiap seniman teater wajib memikul tanggungjawab moral dan menguasai tiga elemen fundamental sebelum berdiri di atas pentas.

Elemen tersebut merangkumi kefahaman mendalam terhadap skrip, aspek teknikal pengarahan dan sinografi serta kesedaran estetik yang peka terhadap sensitiviti agama, adat, dan budaya tempatan.

Katanya, para penggiat seni agar tidak terlalu terikut-ikut dengan acuan luar sehingga meminggirkan identiti nasional.

“Kita tidak perlu menjadi ‘lebih Barat daripada Barat’ sehingga menggadaikan jati diri. Masyarakat luar juga akan memandang sinis jika kita hanya meniru tanpa tunjang budaya yang kukuh.

“Modernisme dalam seni sepatutnya mengangkat martabat, bukan meruntuhkan maruah,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ijam turut memetik pesanan keramat Allahyarham Khalid Salleh yang sering mengingatkan bahawa meskipun teater merupakan ‘kerja main-main’, namun ia tidak boleh dilakukan secara semberono.

“Seni adalah cermin masyarakat. Persoalan pokoknya, adakah penggiat seni hari ini sedar akan impak dan tanggungjawab setiap gerak laku yang dipamerkan kepada khalayak?

“Jangan sampai cermin itu retak kerana kejahilan kita sendiri,” tulisnya, -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN