Hasil sawit negara cukup hasilkan biodiesel B100 ganti diesel konvensional - Utusan Malaysia

Hasil sawit negara cukup hasilkan biodiesel B100 ganti diesel konvensional

AHMAD Shabery Cheek (tengah) menunjukkan biodiesel B100 yang berjaya dihasilkan FGV Holding Berhad, di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Negara dilihat mampu melakukan transisi penggunaan bahan api diesel konvensional kepada biodiesel B100 sepenuhnya berdasarkan pengeluaran sawit negara yang mencukupi.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ketika ini negara menghasilkan 20 juta tan sawit setahun sementara hanya enam juta tan digunakan untuk industri makanan manakala selebihnya dieksport.

“Jika kita mahu menggantikan diesel kepada biodiesel sepenuhnya, kita memerlukan sekitar lima hingga enam juta tan sawit setahun, bermakna jumlah itu lebih daripada mencukupi.

“Bagaimanapun, negara berdepan kekangan untuk menghasilkan biodiesel secara skala besar berikutan kekurangan loji pemprosesan. Bagi menggalakkan penambahan loji ia memerlukan kos yang tinggi selain mengambil masa yang lama selain bergantung kepada dasar kerajaan.

“Dalam situasi krisis semasa, insentif percukaian dilihat antara pendekatan paling mudah dan berkesan berbanding pemberian geran atau sumbangan untuk pembinaan loji bagi mempercepat penggunaan biodiesel,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat eksklusif tentang Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100 di sini hari ini.

Tambah Ahmad Shabery, Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100 yang dilaksanakan FGV Holding Berhad (FGV) merupakan langkah strategik dalam memperkasakan agenda kelestarian negara menerusi penggunaan bahan api bersih.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjanjikan penjimatan kos operasi, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import serta memacu permintaan domestik bagi minyak sawit mentah.

“Tetapi kita di Felda, kita tidak menunggu dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya akan memulakan penggunaan biodiesel B100 dalam ekosistem sendiri,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan penggunaan biodiesel B100 bagi kenderaan, jentera dan mesin dalam ekosistem FELDA akan dimulakan di Kuantan iaitu kawasan yang berdekatan dengan kilang biodiesel FGV. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN