Rocketfuel gegar Aidilfitri, 13 juta penstriman lagu Raya - Utusan Malaysia

Rocketfuel gegar Aidilfitri, 13 juta penstriman lagu Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rocketfuel Entertainment terus mencuri perhatian dalam industri hiburan tempatan apabila kempen Aidilfitri ‘Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment’ mencatat kejayaan memberangsangkan dengan jumlah penstriman lagu Raya mencecah lebih 13 juta secara keseluruhan.

Pencapaian itu sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap karya terbitan syarikat berkenaan yang terus dekat dengan citarasa pendengar semasa.

Antara lagu yang mencatat populariti termasuk ‘Rindu Raya’ nyanyian ALPHA, ‘Kampung Kita’ (Wani Kayrie), ‘Raya Macam Raya’ (Hael Husaini x ALPHA) serta ‘Duit Raya’ oleh Sharul Kamal dan Mierul Aiman.

Meneruskan momentum tersebut, Rocketfuel Entertainment terus memperkukuh barisan artisnya dengan pelbagai pelancaran muzik baharu sepanjang tahun, termasuk mengetengahkan bakat meningkat naik seperti Qal G menerusi single terbaharu berjudul ‘Seharusnya Aku’.

Qal G yang sebelum ini merupakan finalis program Big Stage Alpha kini meneruskan langkah dalam industri rakaman, manakala Awienit yang turut menyertai program sama bakal melancarkan single sulungnya tidak lama lagi.

Di peringkat antarabangsa, duo vokal lelaki dari Korea Selatan, HoonDoo turut melancarkan lagu ‘Jejak Yang Tertinggal’ yang dijadikan runut bunyi drama bersiri ‘Dendam Seorang Mentua’.

Dalam perkembangan lain, penyanyi Wani Kayrie kini giat membuat persiapan ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-40 (SFMM40) menerusi lagu viralnya ‘Cak Cak Cekuk’ yang mencatat jutaan tontonan di YouTube dan penstriman di platform digital.

Selain itu, penyanyi Nadeera dijangka melancarkan single baharu ‘Cuba Jadi Aku’ pada Jun depan, manakala Hael Husaini pula bakal tampil dengan kolaborasi baharu tahun ini.

Rocketfuel turut memperluaskan pengaruh dalam bidang lakonan apabila Mierul Aiman bakal muncul dalam filem ‘Tarung’ bersama Zul Ariffin, selain Fazziq Muqris membintangi filem ‘Kata Hati’.

Qistina Rania pula bakal tampil dalam filem ‘Darah Gagap’, manakala Bella Dowanna muncul dalam siri ‘Ate Kome’ di platform Viu, selain beberapa pelakon lain terlibat dalam produksi digital.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan atlet bola sepak wanita negara, Qaseh Rania sebagai wajah baharu, sekali gus mencerminkan usaha memperluaskan bakat merentas pelbagai bidang.

Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand berkata, kejayaan kempen tersebut membuktikan kekuatan jenama syarikat dalam menghasilkan kandungan yang dekat dengan rakyat serta terus relevan di pasaran hiburan tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN