KOTA BHARU: Penyanyi wanita Kelantan, Eda Ezrin yakin single terbaharunya, Adik Saye Abe Sore bersama Den Manjo mampu mengulangi fenomena lagu Bea Sobar Bea atau Cinta Setandang Pisang yang ‘meletup’ sehingga ke Indonesia.
Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail berkata, ia mampu direalisasikan dengan sokongan padu diberikan peminat sepertimana karya Bea Soar Bea sebelum ini.
“Alhamdulillah selepas dua hari dilancarkan secara rasmi di platform YouTube Kijang Music, ia sudah ditonton lebih 57,000. Saya harap single ini memberi rezeki bersama rakan duet Den Manjo.
“Rakaman lagu ini tertangguh lebih setahun selepas saya berdepan ‘ujian’ hidup. Jadi saya harap peminat dapat terus sokong saya dengan lagu Adik Saye Abe Sore,” katanya semasa Majlis Hari Raya Eddie Hamid Fans Club (EHFC) dan Pelancaran Lagu Adik Saye Abe Sore di sini, semalam.
Eda Ezrin berkata, selepas bersalin kelak, dia akan terus aktif dalam seni suara dengan menyanyikan lagu-lagu ciptaan Eddie Hamid selain menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Katanya, dia mahu membina hidup baharu dan enggan menoleh ke belakang sekali gus mengenang semula peristiwa hitam yang berlaku ke atasnya.
“Apa yang penting saya mahu fokus untuk berniaga dan bernyanyi selepas bersalin pada hujung April ini,” ujarnya.
Sementara itu, Den Manjo mengakui teruja dapat kembali bergandingan dengan Eda Ezrin sekali gus menyelesaikan tugasan yang ‘tertangguh’ lebih setahun itu.
Katanya, dia gembira apabila gandingan bersama Eda Ezrin mereka masih utuh dalam membawakan lagu dialek Kelantan.
“Terima kasih kepada abang Eddie Hamid atas peluang ini. Dalam tempoh 21 jam, lagu ini sudah mencecah 40,000 tontonan, satu pencapaian yang jarang berlaku untuk lagu-lagu dialek Kelantan,” katanya.
Katanya, dia sanggup menunggu rakan duetnya itu hampir setahun untuk rakaman single terbaharu.
“Ia adalah lagu sambungan kepada ‘Cinta Setandang Pisang’. Saya sendiri jarang berduet dengan orang lain selain Eda Ezrin, jadi setia menunggu walaupun lama. Kami berharap lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Fadil Turbo ini bakal menjadi fenomena dan diterima ramai,” katanya.
Tahun lalu, lagu Cinta Setandan Pisang dendangan Den Manjo dan Eda Ezrin mengungguli kategori Lagu Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24.
Lagu ciptaan Eddie Hamid itu menewaskan empat karya hebat lain seperti Menyantun Kasih dendangan Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Hasil kemenangan, lagu dialek Kelantan yang popular dengan lirik Bae Sobar Bae itu berjaya membawa pulang wang tunai RM50,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD).
Terdahulu, Cinta Setandang Pisang mencetus fenomena apabila lagu dialek Kelantan itu merekodkan jumlah tontonan tertinggi di YouTube sebanyak 33 juta.
Ia sekali gus menjadi lagu dialek Kelantan pagi berjaya dalam sejarah industri muzik di negeri ini. – UTUSAN








