NARATHIWAT (THAILAND): Nasib penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami dan empat lagi rakan masih tergantung apabila Mahkamah Rayuan Wilayah Narathiwat masih menerima sebarang permohonan rasmi rayuan daripada pihak pendakwa raya berhubung pembebasan kesemua rakyat Malaysia itu.
Jurucakap mahkamah berkata, setakat ini pejabat pendakwa raya belum memfailkan rayuan rasmi berkaitan kes tersebut dan tarikh akhir permohonan melanjutkan tempoh memfailkan rayuan akan tamat Rabu ini.
“Setakat petang ini (semalam) mahkamah belum menerima rayuan daripada pendakwa raya. Tunggu sehingga 6 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, jurucakap Mahkamah Rayuan Wilayah 9 ketika dihubungi juga memberitahu, pihaknya belum menerima maklumat daripada pejabat pendakwa raya.
“Proses memfailkan rayuan mesti melalui mahkamah wilayah sebelum diserahkan kepada pejabat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 di sini (Narathiwat) untuk diproses.
“Bergantung kepada hakim untuk menerima atau menolak rayuan beserta alasan yang diberikan pendakwa raya. Jika diterima, maka hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan. Tetapi jika ditolak, semua mereka akan dibebaskan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tahanan reman ke atas Eda Ezrin bersama suami serta empat lagi rakan dilanjutkan sehingga 6 Ogos depan.
Memetik laporan portal tempatan apakhabartv.com Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini telah meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan kesemua individu terbabit. – UTUSAN










