KOTA BHARU: Penyanyi wanita dari Kelantan, Eda Ezrin akan melancarkan lagu mengenai perjalanan hidupnya semasa menjalani tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.
Penyanyi dengan nama sebenar Wan Noor Norshaheeda Azlin Wan Ismail itu berkata, susunan muzik lagu berjudul Keluhan Hati itu sudah siap dan hanya menunggu proses rakaman suara di studio.
“Segala pahit getir yang dialami sepanjang berada di Narathiwat saya terjemahkan dalam bait-bait lirik lagu ini.
“Lagu ini cukup dekat dengan saya dan harap peminat dapat menerima seadanya lagu ini apabila dilancarkan nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Penyanyi yang popular dengan lagu Bea Sobar Bea itu memberitahu, lagu tersebut boleh didengari melalui YouTube, Eda Ezrin Official sebaik sahaja dilancarkan bulan hadapan.
Mengulas lanjut, Eda Ezrin mengakui gembira dan bersyukur selepas kemunculan semula dalam dunia seni diterima baik oleh peminat.
Katanya, rata-rata peminat yang ditemui memberikan kata-kata semangat dan berdoa supaya kerjaya seninya bertambah baik.
“Saya harap peminat akan terus memberikan sokongan. Ia menjadi azimat kepada saya untuk terus berjuang dalam dunia seni yang merupakan sumber rezeki dalam menyara keluarga.
“Terbaharu saya akan kembali berduet dengan Din Manjo melalui lahu berjudul Cemburu ,” ujarnya. – UTUSAN










