54,000 kekosongan jurutera masih gagal dipenuhi

54,000 kekosongan jurutera masih gagal dipenuhi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 dan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Wilayah di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 54,000 kekosongan jurutera masih gagal dipenuhi apabila institusi pendikan tempatan hanya mampu menyediakan sekitar 6,000 graduan setahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jurang besar itu menuntut pendekatan luar biasa termasuk memperkasa huffaz teknokrat Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai penyelesaian strategik negara.

Menurutnya, syarikat multinasional (MNC) kini memerlukan sekitar 60,000 jurutera, namun kapasiti semasa negara belum mencukupi untuk memenuhi permintaan industri tersebut.

“Walaupun kebolehpasaran graduan huffaz teknokrat Mara mencecah 100 peratus namun, namun buat masa ini kita hanya mampu menawarkan sekitar 6,000 graduan sahaja,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas program Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat Mara 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Program yang turut dihadiri oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu berjaya menghimpunkan lebih 10,000 pelajar serta alumni institusi pendidikan Mara di seluruh negara.

Tambah Ahmad Zahid, sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 itu diyakini mampu menutup jurang besar keperluan tenaga pakar dalam negara.

Katanya bagi merealisasikan perkara itu, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta bagi pelaksanaan Industrial Boot Camp (IBC) di bawah Mara dengan melibatkan 720 pelajar tahfiz.

“Program itu menyediakan latihan kemahiran profesional serta teknikal dengan pensijilan diiktiraf industri bagi memastikan kebolehpasaran graduan mencapai 100 peratus.

“Antara institusi terlibat termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan rRangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menyediakan laluan kejuruteraan aeroangkasa serta marin.

“Lepasan tahfiz kini tidak hanya menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah mengikuti pengajian profesional dalam bidang strategik seperti kejuruteraan, Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), teknologi kenderaan elektrik (EV) serta robotik.

Sehubungan itu Ahmad Zahid berkata, kerajaan melalui Mara memperluas ekosistem pendidikan huffaz secara bersepadu, merangkumi laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz, Program Profesional Hufaz (ProFAZ) serta pelbagai program pemerkasaan kemahiran di institusi Mara.

“Cabaran sebenar bukanlah kekurangan bilangan huffaz, tetapi kegagalan mengintegrasikan potensi mereka dengan pembangunan ekonomi moden. Jika tidak ditangani, negara berisiko kehilangan aset insan yang amat bernilai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN