PETALING JAYA: Sebanyak 2.9 juta kenderaan kembali memasuki ibu kota sehingga semalam susulan pergerakan orang ramai pulang selepas sambutan Aidilfitri.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan khususnya melibatkan pengguna jalan raya yang pulang ke Lembah Klang.
“Aliran trafik hari ini menunjukkan peningkatan secara berperingkat sejak awal pagi dan dijangka berterusan hingga ke malam apabila orang ramai mula kembali ke bandar untuk kembali bekerja.
“Aliran trafik masuk ke ibu kota membabitkan pergerakan dari arah utara, selatan dan pantai timur, khususnya melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Aliran kenderaan tertumpu dari pantai timur sementara peningkatan paling ketara berlaku dari utara dan selatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah LLM, kesesakan di beberapa laluan tertentu turut dipengaruhi beberapa insiden yang berlaku.
Ia termasuk kenderaan rosak di tengah jalan dan kemalangan kecil, sekali gus menyebabkan aliran trafik bergerak lebih perlahan daripada biasa.
Antaranya, satu kemalangan dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Gopeng menuju Tapah (arah selatan) pada Kilometer 321.0.
“Selain itu, sebuah lori mengalami kerosakan di laluan Changkat Jering ke Kuala Kangsar pada Kilometer 231.7. Bagi laluan dari arah selatan menuju ke ibu negara, tiada kemalangan dilaporkan namun trafik kekal tinggi,” katanya.-UTUSAN.










