LARUT: “Tahun ini abang tidak mahu buat apa-apa persiapan raya.”
Itu antara kata-kata terakhir anggota polis bantuan, Mohamad Shuhialmee Abd. Hamid, 44, kepada isterinya sebelum dia maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Tebing Tinggi, Selama di sini semalam.
Isteri mangsa, Noor Azrin Musa, 32, berkata, suaminya yang sebelum ini sentiasa teruja membuat persiapan Aidilfitri, secara tiba-tiba menyatakan tidak mahu berbuat demikian tahun ini.
Menurut guru Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Tong Wah itu, pada awalnya dia menyangka suaminya sekadar bergurau memandangkan Allahyarham seorang yang ceria dan gemar berjenaka.
“Saya sangka dia bergurau, tetapi tidak sangka itu seperti petanda terakhir sebelum dia pergi meninggalkan kami sekeluarga.
“Malam sebelum kejadian juga dia lebih banyak mendiamkan diri, hanya mendengar anak bongsu lelaki kami bercakap sebelum tidur. Selalunya dia akan bergurau dengan ketiga-tiga anak,” katanya ditemui Utusan Malaysia.
Noor Azrin berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas dihubungi kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Selama kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Kakitangan bank menghubungi saya bertanyakan kenapa suami masih belum sampai ke tempat kerja seperti biasa. Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan suami terlibat dalam kemalangan maut di Tebing Tinggi,” katanya.
Menurutnya, arwah yang bertugas di BSN Bagan Serai dipindahkan sementara ke BSN Selama sejak hujung Disember lalu bagi menggantikan rakan sekerja yang bercuti sakit.
Tambah Noor Azrin, sebelum keluar bekerja pagi kejadian, suaminya sempat berpesan supaya dia membawa anak-anak ke klinik kerana ada yang kurang sihat.
“Dia kata akan ikut sama ke klinik petang nanti selepas pulang kerja,” katanya.
Jenazah mangsa disolatkan di Masjid Permaisuri Tuanku Hajah Haminah, Matang Jelutong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Jay kira-kira 9 malam semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima makluman kemalangan melibatkan mangsa pada pukul 7.35 pagi dan siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Mangsa menunggang motosikal di belakang sebuah kereta yang memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada sebuah lori dari arah bertentangan melalui jambatan berkenaan yang dalam kerja pembaikan.
“Motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kereta terbabit sebelum terjatuh ke laluan bertentangan dan dilanggar lori berkenaan. Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. – UTUSAN







