KUALA LANGAT: Menangis dan enggan tidur jadi petanda awal seorang kanak-kanak berusia tiga tahun pulang ke pangkuan Pencipta selepas rumah didudukinya hangus dijilat api, di Kampung Seri Cheeding, awal pagi semalam.
Lebih menyayat hati, bapa kepada Allahyarham Muhammad Zahir Adha, Mohd. Zaid, sanggup keluar ke kedai pada tengah malam untuk membeli bebola coklat kegemaran anak ketiganya itu sebelum kejadian semata-mata mahu memujuknya.
Menurut ibu mangsa, Nur Liah Asul, 38, ketika suaminya keluar dia membawa Muhammad Zahir Adha masuk ke bilik dan tidur bersama anak bongsunya, Muhammad Zafrel Neil yang baru berusia satu bulan.
“Suami pergi kedai beli ‘jajan’ kegemaran anak semata-mata hendak memujuk dia sebab sebelum itu Muhammad Zahir Adha menangis dan tak mahu tidur. Tetapi saya temankan juga dia tidur dengan anak bongsu.
“Tak lama kemudian, kira-kira pukul 2.30 pagi, anak sulung, Muhammad Zayn Malique, 8, kejutkan saya, katanya terdengar bunyi letupan dari dalam rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, susulan teriakan itu, dia terjaga dan melihat seluruh penjuru rumah dipenuhi asap hitam bersama api marak menyala.
“Saya masih berpantang, namun cuba gagahkan diri bawa anak-anak keluar. Saya dukung dan peluk bayi, keluar bersama anak sulung dan kedua. Saya ingat Muhammad Zahir Adha ikut belakang, sebab dia biasa tersedar bila keadaan bising dan riuh.
“Tetapi dia tak keluar, api marak membakar dinding. Saya jerit minta tolong jiran-jiran selamatkan Muhammad Zahir Adha. Dia tidur dalam bilik utama. Api besar dan sangat marak, saya tidak mampu buat apa-apa. Arwah tak sempat pun makan bebola coklat yang ayah dia belikan,” luahnya dalam keadaan teresak-esak.
Jenazah Allahyarham Muhammad Zahir Adhadikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding, semalam.
Tambahnya, kediamannya dengan dua bilik itu disewa bersama keluarganya sejak lima tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 2.50 pagi itu.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah rumah sewa yang mengalami litar pintas sebelum api merebak ke rumah-rumah lain dalam deretan berkenaan. – UTUSAN










