PETALING JAYA: Sebanyak 85 peratus daripada kes tuberkulosis (tibi) yang dilaporkan di negara ini membabitkan rakyat tempatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 15 peratus kes penyakit tersebut pula melibatkan warga asing.
Katanya, persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan kemasukan warga asing adalah tidak tepat berdasarkan data Kementerian Kesihatan menunjukkan kes dalam kalangan warga tempatan lebih tinggi ketika ini.
“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya semalam.
Beliau berkata, tibi bukanlah fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam sebaliknya sudah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian semua pihak.
Katanya, tibi juga bukan hanya isu klinikal tetapi adalah penyakit kemiskinan yang berkait rapat dengan faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.
“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun ia boleh dicegah, boleh dirawat dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejim rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya.
Beliau oleh itu menyeru masyarakat supaya cakna terhadap gejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh waktu malam dan susut berat badan untuk segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak memulaukan pesakit, sambil menegaskan bahawa sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti adalah kunci utama untuk pesakit melengkapkan rawatan.
Katanya, sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette-Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.
Sementara itu, kes tibi di Terengganu dilaporkan dalam keadaan terkawal dengan jumlah 60 kes baharu direkodkan setakat 7 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jumlah tersebut direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sehingga Minggu Epidemiologi (ME) kelima tahun ini.
Katanya, trend semasa menunjukkan jumlah jangkitan tidak mengalami peningkatan drastik dan hampir menyamai angka yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Buat masa ini, sesemua pesakit yang dikesan kini sedang menjalani rawatan di bawah pemantauan rapi JKNT bagi memastikan proses penyembuhan berjalan lancar,” katanya.-UTUSAN.











