Tiada sokongan, Pas sukar terajui PN?

Tiada sokongan, Pas sukar terajui PN?

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu terus menemui jalan buntu dengan impian Pas untuk mengetuai gabungan itu dilihat sukar.

Menurut sumber dalaman kepada Utusan Malaysia, Pas sedar mereka sukar mengetuai PN selepas parti-parti komponen lebih mahu pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengepalai gabungan tersebut, selain Tan Sri Muhyidddin Yassin juga dikatakan masih mahu mengekalkan kedudukan berkenaan.

Kata sumber itu, ekoran kebuntuan tersebut, Pas dikata­kan cuba menolak jawatan Pengerusi PN itu kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bagaimanapun ia ditentang oleh Muhyiddin dan mereka yang rapat dengan beliau.

Ujar sumber berkenaan, Muhyiddin dan kem yang rapat dengan beliau termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa tidak mahu Hamzah sehingga menyaksikan kemelut pelantikan Pengerusi PN berlarutan.

“Peletakan jawatan Muhyid­din sebagai Pengerusi PN sebelum ini hanya untuk me­nguji sahaja sejauh mana tahap sokongan. Bila Muhyiddin letak jawatan, Pas juga dilihat sukar untuk mengetengahkan calon dan dilihat tidak cukup berani untuk mempertahankan keputusan itu.

“Pas tidak mendapat soko­ngan komponen itu antara sebab sukar untuk mereka mengetuai PN. Apabila hendak tolak jawatan itu kepada Hamzah, ia mendapat tentangan pula daripada Muhyiddin dan kem. Pas dilihat tidak ada masalah dengan Hamzah,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pemimpin Pas dan Bersatu terus bertelagah dalam kemelut pelantikan Pengerusi PN baharu yang kelmarin genap sebulan jawatan itu dibiarkan kosong.

Pertelagahan mengundang kepada ajakan ‘gencatan senjata’ diadakan bagi mengelak lebih banyak pendedahan hal-hal sulit berkaitan gabungan itu didedahkan di media sosial.

Sebelum ini, media me­laporkan PN berisiko berdepan tindakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sekiranya bertindak memansuhkan jawatan pengerusi gabungan berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, ia kerana jawatan tersebut termaktub dalam Perlembagaan pembentukan gabungan tersebut dan sebarang perubahan terhadap struktur tersebut adalah tidak berperlembagaan dan boleh mengundang implikasi undang-undang.

Penjelasan itu dibuat setelah wujud dakwaan oleh Muhyiddin bahawa Bersatu dan Pas te­lah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan tersebut sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan berkenaan.

Menurut Muhyiddin, persetujuan itu turut melibatkan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN manakala Pas mengetuai Jawatankuasa Eksekutif, seperti dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 27 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu soal calon Pengerusi PN diselesaikan secara ‘adik-beradik’.

Kata Ahli Parlimen Arau itu, musuh utama PN bukan sesama sendiri sebaliknya pihak lawan yang perlu ditentang habis-habisan.

“Hendak bergaduh sekejap sahaja, tetapi hendak berkawan atau ke arah perpaduan ini mengambil masa yang lama. Kepercayaan rakyat yang telah memilih kita bukan hendak lihat kita bergaduh.

“Disebabkan kita ‘pukul’ sesama sendiri menyebabkan kerja pihak lawan akan lebih mudah tanpa perlu berusaha keras mencari modal menye­rang kita,” katanya.

Ahli Parlimen Kangar dari Bersatu, Zakri Hassan pula berkata, PN perlu diperkukuhkan dalam keadaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) di­jangka berlangsung pada bila-bila masa.

“Sebarang perkara berbangkit di dalam PN, selesaikan segera memandangkan kita perlu memasuki PRU16 dalam keadaan kukuh. Kembali perkukuhkan parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN