SPRM cari empat anak Daim

SPRM cari empat anak Daim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan terhadap keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin berterusan apabila empat anak bekas Menteri Kewangan itu kini sedang dikesan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan agensi itu.

Keempat-empat individu ter­­babit ialah Asnida, 65; Md. Wira Dani, 48; Muhammed Amir Zai­­nuddin, 31 dan Muhammed Amin Zainuddin, 28.

Utusan Malaysia difahamkan, kesemua individu terbabit dipercayai kini berada di luar ne­gara dan diperlukan bagi mem­bantu siasatan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Peruntukan itu memberi kua­­sa kepada SPRM untuk me­nga­rahkan mana-mana individu meng­isytiharkan segala aset yang dimiliki bagi tujuan siasatan.

SPRM menerusi kenyataan me­maklumkan, Asnida mempunyai alamat terakhir di Country Heights, Kajang Selangor ma­nakala Md Wira Dani ber­alamat terakhir di Taman Melawati, Ulu Klang.
Sementara Muhammad Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin mempunyai ala­mat terakhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu SPRM me­minta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kesemua individu ter­babit diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohamad Daeem Mohd Ali di nomnor 017-9127217 atau emel [email protected].

Maklumat juga boleh disa­lurkan kepada Ahmad Aiman Ramly di talian 011-61930814 atau emel [email protected].

Siasatan terhadap keluarga Daim bermula pada Disember 2023 apabila SPRM menyita Menara Ilham yang dipercayai milik keluarga tersebut yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Sitaan dilakukan selepas siasatan dibuka berkaitan de­ngan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

SPRM kemudian mengesahkan Daim disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari tahun tersebut.

Pada Januari 2024, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan me­ngarahkan SPRM menghentikan siasatan terhadapnya, isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn. Bhd. bagi mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Pada Julai tahun lalu, SPRM telah menyita dan melucut hak aset yang dikaitkan dengan Daim, Na’imah, ahli keluarga serta sekutu mereka de­ngan nilai melebihi RM3 bilion.

SPRM turut mengesan pemilikan aset luar biasa di 11 negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia serta beberapa negara di benua Afrika.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN