Siswa Jepun teruja, kagumi keunikan budaya Melayu

Siswa Jepun teruja, kagumi keunikan budaya Melayu

KO Tanaka diberi tunjuk ajar cara-cara menyedut madu kelulut oleh Dr. Jaidon Romli pada program pertukaran pelajar di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua mahasiswa dari Jepun, Ko Tanaka dan Ha­ruki Sakaguchi masing-ma­sing berusia 18 tahun, melahirkan rasa teruja dan kagum terhadap keunikan budaya Melayu sepanjang menyertai program pertukaran pelajar di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, selama 14 hari.

Ko Tanaka dan Haruki Sakaguchi merupakan mahasiswa Universiti Perdagangan dan Perniagaan Nagoya (NUCB) dalam jurusan Bahasa Antarabangsa, Fakulti Perniagaan dan Pentadbiran.

Mereka terpilih menyertai pro­gram pertukaran pelajar di ba­wah kendalian NGO Malaysian Outreach Volunteer Exchange (MOVE) dengan kerjasama NGO Jepun, NICE, yang memilih sukarelawan dalam kalangan mahasiswa universiti di negara itu.

Ko Tanaka berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Malaysia dan peluang tersebut membuka ruang luas untuk mengenali secara dekat kehidupan, adat serta budaya masyarakat Melayu di kampung angkatnya.

“Saya sangat gembira dan ter­haru dengan layanan keluar­ga angkat serta penduduk kampung yang begitu mesra. Makanan Melayu juga sangat sedap dan unik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, sepanjang berada di Johor Bahru, mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti tradisional antaranya belajar membuat batik, mengupas kelapa, mempelajari seni silat, bermain sepak takraw, memasak hidangan Malaysia serta melawat Felda Adela termasuk mempelajari pembuatan bahulu.

Selain itu, mereka turut didedahkan dengan aktiviti ekonomi masyarakat setempat seperti me­noreh getah serta mendalami ilmu berkaitan penternakan lebah dan penghasilan madu kelulut.

“Saya sangat kagum dengan budaya dan sosioekonomi ma­syarakat di sini. Apabila pulang ke Jepun nanti, saya akan ber­kongsi pengalaman dan kehebatan masyarakat Melayu ini kepada rakan-rakan mahasiswa di universiti saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Work Camp Ulu Tiram di bawah MOVE, Faiz Qayyuum bin Abdul Majid berkata, program yang kini memasuki hari ketujuh itu berlangsung selama dua minggu dengan penekanan kepada pertukaran budaya dan pengalaman hidup bersama keluarga angkat.

Katanya, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada sukarelawan asing tentang budaya tempatan, malah mengeratkan hubungan masyarakat antarabangsa melalui pengalaman hidup sebenar di kampung.

“Para peserta sangat teruja, banyak perkara baharu dipelajari dan mereka benar-benar menikmati pengalaman tinggal bersama keluarga angkat serta menjalani aktiviti harian masyarakat Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN