HULU TERENGGANU: Bermula daripada minat mendalam terhadap seni warisan Melayu, seorang pengusaha tanjak dari Kampung Gaung, Kuala Berang, tekad mengangkat martabat warisan tradisional itu agar terus mekar dan tidak ditelan arus pemodenan.
Muhammad Ali Yusof, 52, berkata, dia mempelajari seni pembuatan tanjak pada 2014 selepas mengikuti kursus anjuran Persatuan Tanjak Warisan Malaysia.
Katanya, minat terhadap seni warisan Melayu terutama tanjak mendorongnya mendalami teknik pembuatan aksesori tradisional itu sebelum menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Saya mula aktif menjual tanjak apabila menyertai program di Kampung Budaya Terengganu. Biasanya bila ada program atau tempahan, saya hasilkan tanjak untuk dijual,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Menurutnya, proses menghasilkan tanjak memerlukan ketelitian dan kemahiran tersendiri bermula dengan memotong kain, digosok, dijahit bersama besi sebelum digulung dan dibentuk menjadi tanjak.
Setiap tanjak mempunyai cara lipatan dan identiti tersendiri dengan di Terengganu sahaja ada lapan jenis tanjak yang mempunyai kegunaan dan kedudukan berbeza mengikut hierarki istana dan masyarakat.
Antaranya Tanjak Belalai Gajah yang dipakai Sultan Terengganu, Tanjak Belalai Anak Gajah dipakai Tengku Muda Terengganu, Tanjak Bendahara Terengganu dan Tanjak Laksamana Terengganu yang lazim dipakai dalam majlis penganugerahan pingat.
Muhammad Ali berkata, selain itu terdapat Tanjak Bija Diraja yang dipakai ulama atau penasihat agama sultan, Tanjak Temalung Budu yang digunakan rakyat biasa serta Tanjak Lang Melayang.
Katanya, trend pemakaian tanjak kini semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan generasi muda dan sering digayakan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, majlis perkahwinan dan acara rasmi.
Katanya, bagi gaya santai, pelanggan biasanya memilih tanjak menggunakan kain hitam polos manakala untuk majlis formal, songket penuh berkualiti tinggi menjadi pilihan.
“Songket penuh lebih eksklusif terutama yang menggunakan benang emas. Dua tahun lalu saya pernah menghasilkan tanjak untuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Pemangku Raja Terengganu menggunakan songket asli gred A,” katanya.
Selain tanjak, Muhammad Ali turut mengusahakan galeri busana Melayu di Kampung Gaung dengan menjual pakaian tradisional termasuk baju rakyat dengan dibantu isterinya, Azimah Mohd, 47. Perniagaan keluarga itu kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat pakaian tradisional. – UTUSAN








