Sindiket dadah antarabangsa cuba seludup 1.57 tan syabu

Sindiket dadah antarabangsa cuba seludup 1.57 tan syabu

KRU kapal Kamal Bangkok yang ditahan bersama guni berisi dadah dipercayai syabu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan kegiatan sindiket dadah antarabangsa yang menggunakan laluan perairan negara apabila menahan dua buah kapal dan merampas kira-kira 1.572 tan dadah disyaki syabu dalam operasi khas di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Mari­tim Mazlan Mat Rejab berkata, tangkapan dilakukan oleh aset agensi berkenaan yang melakukan rondaan kira-kira 107 batu nautika Timur Laut Kuantan.

“Kapal pertama iaitu sebuah kapal tangki sepanjang 50.34 meter yang dikenali sebagai Kamal Bangkok ditahan kira-kira pukul 10.47 pagi di lokasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kapal itu didaftarkan di Thailand bersama 10 orang kru warga Thailand dan tiga orang kru warga Indonesia, kesemuanya berusia lingkungan 33 hingga 68 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 76 guni mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.572 tan dan turut dirampas ialah 50 ribu liter mi­nyak diesel,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia di sini, semalam.

Mazlan berkata, untuk penahanan kedua, sebuah kapal kargo sepanjang 39.8 meter dikenali sebagai Sail Fish 09 didaftarkan di Indonesia bersama lima orang kru, kesemuanya warga Indonesia berusia lingkungan 33 hingga 71 tahun, turut ditahan di lokasi sama lebih kurang pukul 10.50 pagi.

“Kedua buah kapal itu dipercayai mempunyai kaitan dalam sindiket dadah berkenaan, namun siasatan lanjut masih dilakukan. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM83.75 juta melibatkan dadah disyaki jenis syabu, minyak diesel dan dua buah kapal.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1958,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN