Rumah ibadah tak sah: Pemilik tidak boleh ambil tindakan sendiri

Rumah ibadah tak sah: Pemilik tidak boleh ambil tindakan sendiri

Rumah ibadah tak sah
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik yang tanahnya diceroboh dan didirikan binaan rumah ibadah haram tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa perintah mahkamah.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu dikhuatiri mencetuskan ketegangan dan mengganggu keharmonian antara kaum dan agama.

“Tiada mana-mana pihak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan tanah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, semalam.

Jelasnya, mesyuarat turut mengambil beberapa ketetapan berhubung isu rumah ibadah tidak sah bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian negeri dan keselamatan awam.

Amirudin menjelaskan, terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadah tidak sah iaitu rumah ibadah yang menduduki tanah milik kerajaan negeri serta rumah ibadah yang didirikan di atas tanah milik persendirian.

Bagi rumah ibadah di atas tanah milik kerajaan negeri, beliau mengarahkan supaya prosedur sedia ada dipertingkatkan termasuk tindakan segera di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa LIMAS yang lebih jelas.

Sementara itu, bagi rumah ibadah di atas tanah milik persendirian, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan boleh dilaksanakan.

Amirudin berkata, mengambil kira aspek keselamatan, MKN Negeri Selangor turut memutuskan mana-mana pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan serta pembinaan rumah ibadah tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan dimulakan sekiranya terdapat kesalahan.

Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan pegawai daerah diaktifkan di semua daerah dan akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadah, polis dan PBT bagi mencapai penyelesaian munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN