KANGAR: Ramadan memberi limpahan rezeki kepada pengusaha arang dari Kampung Sungai Bakong di sini yang menerima tempahan lebih tiga tan metrik bahan bakar itu daripada peniaga bazar Ramadan sekitar negeri ini.
Ahmad Osman,58, berkata, setiap kali Ramadan, permintaan arang tempurung itu meningkat dua kali ganda berbanding kebiasaan sekitar satu tan.
Permintaan arang meningkat dua kali ganda setiap Ramadan berbanding biasa sekitar satu tan, membolehkan dia menjana pendapatan RM3,000 hingga RM5,000 sepanjang bulan puasa.
Pada Ramadan tahun lepas, Ahmad berjaya menjual antara tiga hingga empat tan arang, dan kali ini walaupun pada awal Ramadan ini sebanyak tiga tan tempahan telah diterimanya dan dijangka terus meningkat.
“Setiap kali Ramadan memang memberi limpahan rezeki memandangkan peniaga-peniaga di bazar Ramadan di sini membeli arang dihasilkan oleh saya.
“Saya mula memproses arang ini sejak lima tahun lalu bagi menambah pendapatan selain turut melakukan kerja-kerja di bendang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, setiap hari dia memproses ratusan kilogram tempurung kelapa dan seterusnya membakarnya untuk dijadikan arang.
Ahmad berkata, tempurung tersebut akan dibakar menggunakan tong dram.
“Selepas dibakar dan menjadi arang, ia akan diletakkan dalam tong dram dan dibiarkan sejuk sebelum ditutup dengan kain basah selama sehari,” katanya.
Katanya, arang berkenaan juga dijualnya di kilang-kilang.
“Insya-Allah jika hasil jualan arang terus meningkat, saya akan mengembangkan pembuatan arang tersebut yang sememangnya mendapat permintaan tinggi di Perlis,” katanya.-UTUSAN.










