BAGAN DATUK: “Puasa tahun ini terasa janggal kerana tidak dapat lagi berbuka puasa dengan abang.”
Itu kata Muhammad Naim Zainal Anuar, 24, adik kepada Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 27, lelaki yang maut bersama dua kanak-kanak dalam kemalangan di Kilometer 25, Batu 16 Hutan Melintang-Bagan Datuk dekat Sungai Sumun di sini pada Sabtu lalu.
Muhammad Nashrul bersama dua anak saudaranya, Muhammad Adam Rifqi Mohd. Fairuz, 12, dan Nur Aadimiyya Rifqina Mohd. Fairuz, 6, meninggal dunia apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian pada kira-kira 2.30 petang.
Muhammad Naim berkata, menjadi kebiasaan dia dan abangnya berbuka puasa bersama setiap kali Ramadan namun itu semua tinggal kenangan selepas kematian abangnya.
“Dia abang sulung saya. Kami tiga beradik, saya anak ketiga daripada tiga beradik. Abang tinggal di Kuala Lumpur. Pada pagi Sabtu lalu abang ada beritahu dia hendak balik kampung di Rungkup bersama keluarga mentua sebab cuti Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
“Tahun ini tak dapat nak berbuka puasa dengan abang, memang rasa janggal sebab biasanya kami berbuka puasa bersama-sama tapi tahun ini tiada lagi.
“Abang pernah ada rancangan untuk balik kampung bersama-sama semasa hari raya nanti namun semua itu tidak kesampaian. Sudah tentu kami merasai kehilangan abang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kemalangan Sabtu lalu turut menyebabkan isteri Allahyarham Muhammad Nashrul, Anis Sahila Mohd. Faudzi, 25, mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Teluk Intan.
Turut cedera dan dirawat di hospital yang sama ialah adik Anis Sahila iaitu Muhammad Danish Danieal, 13.
Sementara itu, anak saudara Anis Sahila, Elyna Qarissa Muhammad Eizlan berusia enam bulan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Jenazah Muhammad Nashrul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selekoh di sini pada Ahad lalu manakala manakala jenazah dua beradik Muhammad Adam Rifqi dan Nur Aadimiyya Rifqina dikebumikan di Klang, Selangor pada hari yang sama.-UTUSAN.










