Polis lepas tembakan, suspek pecah rumah, curi kereta cuba larikan diri

Polis lepas tembakan, suspek pecah rumah, curi kereta cuba larikan diri

AHMAD Mohsin Md. Rodi (dua dari kanan) menunjukkan wajah suspek yang ditahan semasa sidang akhbar di IPD Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Beberapa das tembakan dilepaskan oleh polis ke arah tayar sebuah kereta dinaiki dua suspek kes pecah rumah dan curi kereta sekitar negeri ini bagi menghalang mereka meloloskan diri dalam operasi, semalam.

Tindakan itu terpaksa diambil apabila suspek bertindak nekad cuba melanggar pasukan tangkapan dalam kejadian sekitar pukul 10.30 malam.

Terdahulu, satu tangkapan dilakukan oleh polis ke atas seorang suspek lelaki di tepi Jalan Taman PKNK, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Setar, Kedah, sekitar pukul 7.50 malam, berhubung kes pecah rumah dan curi kereta di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, susulan tangkapan itu, sepasukan anggota polis dari Cawangan D4, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah menjalankan operasi dengan menahan sebuah kereta jenis Perodua Alza di pekarangan Café Kesenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, di sini, yang dinaiki dua suspek.

“Semasa operasi, pemandu Perodua Alza itu telah cuba melanggar pegawai bersama pasukan tangkapan dan rentetan itu, beberapa das tembakan telah dilepaskan oleh anggota ke arah tayar hadapan kereta dipandu suspek.

“Akibat tembakan tersebut, tayar kereta itu telah pecah dan menyebabkan suspek bertindak memberhentikan kenderaan di kawasan Taman Bersatu, Jalan Batas Liku, di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, susulan itu, pegawai tangkapan yang mengetuai operasi juga telah berjaya menahan seorang suspek lelaki manakala seorang lagi suspek telah melarikan diri ke kawasan semak samun.

“Pemeriksaan luar kenderaan itu mendapati terdapat satu kesan tembakan pada tayar hadapan sebelah kanan dan satu kesan tembakan pada tayar hadapan sebelah kiri.

“Polis turut menemukan satu sarung pistol berwarna hitam di bahagian lantai tempat duduk penumpang hadapan kenderaan itu dan sebanyak enam kelongsong peluru bersama satu serpihan anak peluru turut ditemukan di lokasi kejadian,” katanya.

Ujar Ahmad Mohsin, hasil penahanan itu, polis turut melaksanakan satu tangkapan susulan ke atas seorang perempuan di sebuah rumah di Jalan Santan, Kangar, pada pukul 12.45 pagi selepas dipercayai terlibat dengan kes itu.

Katanya, suspek lelaki yang melarikan diri itu juga berjaya ditahan di sekitar kawasan Santan, Kangar dan akan direman esok.

“Menerusi penahanan ini, polis turut merampas beberapa barangan antaranya seperti sebuah kereta jenis Perodua Kelisa, telefon bimbit, anak kunci, sebuah televisyen, sebuah mesin pemotong kayu dan beberapa lagi. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN