PETALING JAYA: Kerajaan memperkukuh koordinasi antara negeri dan Persekutuan dalam usaha mendepani krisis tenaga global yang semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat menerusi Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan yang diambil berteraskan data dan realiti semasa bagi memastikan setiap pimpinan negeri dapat bertindak secara selari, bersepadu serta berpaksikan fakta bersama Kerajaan Persekutuan.
“Dalam mendepani ketidaktentuan global, kerajaan turut menggerakkan perancangan senario yang teliti dan menyeluruh termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.
“Fokus Kerajaan Madani kekal tegas dan tidak berganjak, iaitu memastikan kestabilan bekalan, membendung tekanan kenaikan harga serta melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis ini,” katanya menerusi Facebook di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut memberi jaminan bahawa setiap langkah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan dengan keutamaan jelas untuk menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif sokongan yang bersasar dan berkesan.
Jelasnya, libat urus strategik bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap pendekatan yang diambil bersifat menyeluruh, seimbang serta berimpak tinggi.
“Semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri kekal menjadi teras utama, dan saya yakin Malaysia akan terus teguh, berdaya tahan serta mampu melindungi rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.- UTUSAN









