PETALING JAYA: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima sembah menghadap Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan bagi mempersembahkan perkembangan projek berkaitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ramanan berkata, dalam sesi tersebut beliau telah mempersembahkan perkembangan terkini berhubung pembangunan Pusat Rehabilitasi Perkeso yang sedang dirancang di Terengganu.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka menjadi antara pemangkin utama dalam memperkukuh sistem keselamatan sosial negara, khususnya dalam aspek pemulihan dan kebolehkerjaan semula pencarum.
“Pusat rehabilitasi di Terengganu itu bakal memberi tumpuan kepada pekerja yang mengalami kecederaan atau hilang upaya agar dapat kembali menjalani kehidupan serta pekerjaan secara lebih produktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ramanan, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan baginda yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat serta menyokong pelbagai inisiatif pembangunan.
“Keprihatinan Tuanku amat bermakna dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dan usaha memperkasa keupayaan mereka dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Ramanan turut menyatakan komitmen dalam memastikan projek ini dilaksanakan mengikut perancangan serta memberi manfaat optimum kepada rakyat.
Katanya, kemudahan tersebut juga selari dengan komitmen kerajaan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta perlindungan sosial di seluruh negara.
“Pusat Rehabilitasi Perkeso itu dijangka memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan yang komprehensif serta bersepadu kepada pencarum.
“Perkara itu selari dengan komitmen kerajaan untuk memperluas akses kepada kemudahan kesihatan dan perlindungan sosial yang berkualiti di Terengganu,” katanya. – UTUSAN









