PETALING JAYA: Perdana Menteri mengingatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar tidak menjadikan keputusan peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kejayaan sebaliknya menitikberatkan pembinaan nilai dan akhlak dalam kehidupan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia hari ini yang berdepan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi menuntut generasi muda memiliki daya tahan tinggi serta pemikiran matang.
Katanya, setiap usaha yang dicurahkan oleh pelajar wajar dihargai walaupun keputusan yang diperoleh berbeza, kerana perjalanan menuntut ilmu memerlukan kesabaran dan tekad yang berterusan.
“Saya zahirkan ucapan tahniah atas keputusan yang diperoleh. Walau apapun keputusan yang diterima, usaha dan perjalanan jauh anak-anak ini perlukan kesabaran dan tekad bersungguh-sungguh dalam setiap bidang yang akan diceburi kelak.
“Saya juga berkongsi pandangan dengan anak-anak, selain kecemerlangan akademik, kekuatan nilai dan akhlak juga penting dalam membina masa depan yang lebih baik. Saya juga kongsi cabaran geopolitik semasa yang dihadapi dunia khususnya isu ekonomi,” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa meraikan seramai 40 pelajar lepasan SPM dari seluruh negara bersama pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa menghormati serta mematuhi nasihat ibu bapa, selain peka terhadap perkembangan semasa yang semakin mencabar.
Tambahnya, kerajaan akan terus berusaha menyediakan peluang terbaik kepada generasi muda dalam usaha membina masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Saya mendoakan agar semua lepasan SPM diberikan kekuatan, kecekalan dan semangat untuk terus maju serta menjadi insan yang lebih baik daripada hari ini,” katanya.- UTUSAN









