KOTA BHARU: Syarikat pengangkutan awam, Queen Express mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan sifar penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandunya sepanjang hampir sedekad menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di negeri ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Suffian Daud berkata, komitmen tegas syarikat dalam membanteras salah guna dadah membuahkan hasil apabila kesemua 90 pemandu berusia antara 30 hingga 60 tahun disahkan bebas daripada bahan terlarang.
Katanya, setiap dua atau tiga bulan sekali Queen Ekspress akan menjalankan ujian saringan ke atas semua pemandu bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan syarikat.
“Alhamdulillah, selepas 10 tahun beroperasi, tiada seorang pun daripada 90 pemandu kami terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Bukan itu sahaja, kami juga merekodkan sifar kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian pemandu syarikat,” katanya kepada pemberita selepas menerima pengiktirafan Sijil Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang disampaikan Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu, Muhammad Ismail.
Mohd. Suffian memberitahu, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan semua peraturan di jalan raya diikuti dengan sebaik mungkin.
Katanya, kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dijalankan memastikan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
“Usaha ini bukan sekadar untuk pematuhan undang-undang, tetapi bagi memberi keyakinan kepada penumpang.
“Queen Express mengendalikan 46 buah bas dengan tujuh destinasi utama melibatkan laluan kecuali Johor,” ujarnya.
Mengulas sambutan tiket musim perayaan, Mohd. Suffian berkata, jualan tiket sempena Aidilfitri yang mula dibuka pada 15 Februari lalu habis dijual dalam tempoh lima minit sahaja melibatkan perjalanan Lembah Klang ke Kota Bharu meliputi tarikh 17 hingga 19 Mac sudah habis.-UTUSAN










