Pegawai kanan Hezbollah antara 12 maut serangan Israel di Lubnan

Pegawai kanan Hezbollah antara 12 maut serangan Israel di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAA VALLEY: Sekurang-kurangnya 12 maut manakala 50 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di Lembah Bekaa, Lubnan semalam.

Serangan berlaku selepas tentera Israel mengesahkan pasukannya menyasarkan kedudukan Hezbollah di wilayah Baalbek.

Menurut sumber keselamatan kepada Reuters, serangan itu merupakan antara yang paling berdarah di timur Lubnan sejak kebelakangan ini.

Insiden itu juga dikhuatiri akan menguji perjanjian gencatan senjata yang rapuh diusahakan Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan kumpulan Hezbollah, yang kini semakin tegang akibat dakwaan pencabulan berulang kali.

Tentera Israel dalam kenyataan mendakwa, serangan tersebut menyasarkan pusat arahan Hezbollah di Baalbek, yang terletak di timur Lembah Bekaa.

Sumber mengesahkan seorang pegawai kanan Hezbollah adalah antara mangsa yang terkorban, namun setakat ini pihak Hezbollah belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Israel dan Hezbollah sebelum ini bersetuju dengan gencatan senjata pada tahun 2024 bagi menamatkan konflik rentas sempadan yang berlarutan lebih setahun.

Bagaimanapun, sejak perjanjian itu dimeterai, kedua-dua pihak saling menuduh berlaku pelanggaran syarat gencatan senjata.

Pegawai AS dan Israel dilaporkan terus mendesak pihak berkuasa Lubnan untuk menyekat simpanan senjata Hezbollah. Namun, pemimpin Lubnan memberi amaran bahawa serangan berterusan oleh Israel hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan negara itu yang sememangnya sudah terjejas akibat krisis politik dan ekonomi.

Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel mendakwa mereka turut menyerang pusat arahan Hamas di kawasan Ain al-Hilweh, selatan Lubnan. Ain al-Hilweh merupakan kem pelarian Palestin yang padat berhampiran bandar Sidon.

Hamas dalam satu kenyataan mengecam keras serangan tersebut dan menafikan dakwaan Israel mengenai sasaran mereka.

Menurut Hamas, lokasi yang dibedil itu sebenarnya adalah milik Pasukan Keselamatan Bersama kem tersebut yang bertugas menjaga keselamatan penduduk setempat.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN