PETALING JAYA: Malaysia sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang membatalkan tarif perdagangan menyeluruh yang diperkenalkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan turut meneliti skop dan implikasi pengumuman Trump berhubung pelaksanaan langkah tarif sementara sebanyak 10 peratus.
Menurut beliau, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika Syarikat ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tahun lalu, namun ia masih belum diratifikasi.
“Kerajaan sedang menilai secara berhati-hati perkembangan undang-undang dan dasar terkini di Amerika Syarikat.
“Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh pihak Amerika Syarikat sebelum ini, kita memahami bahawa negara itu masih mempunyai mekanisme perundangan lain untuk mengenakan langkah perdagangan, termasuk tarif unilateral, sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.
Agensi berita Kyodo melaporkan Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan apa yang digelar tarif timbal balas ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.
Susulan itu, Trump mengumumkan pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara, yang akan dikuatkuasakan serta-merta.
Menerusi hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump mengesahkan beliau sudah menandatangani dokumen rasmi berkaitan dasar perdagangan baharu itu di Pejabat Oval, Rumah Putih.
Pada 26 Oktober lalu, ART dimeterai dengan AS dan Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus menerusi rundingan.
Johari berkata, Malaysia mengambil maklum keputusan Mahkamah Agung AS dan mengiktiraf bahawa negara kuasa besar berkenaan masih mempunyai mekanisme perundangan lain untuk mengenakan langkah perdagangan termasuk tarif unilateral sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian.
Menurutnya, pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten terus komited terhadap perdagangan terbuka serta berasaskan peraturan, mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal.
“Malaysia juga konsisten dan melindungi kepentingan pengeksport tempatan, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di negara ini dan pekerja di seluruh sektor ekonomi.
“Pada masa sama, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan perdagangan dan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta pelbagai hala bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang sentiasa berkembang.
“Kami akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” katanya.
Tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan AS mencecah kira-kira RM367 bilion, dengan jumlah eksport sebanyak RM233 bilion, sekali gus negara berkenaan kekal menjadi rakan dagang lama yang penting bagi Malaysia. – UTUSAN










